22 Mei 2022, 06:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hat Yai – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa negeri Perlis kini  sudah bersedia untuk menerima kedatangan pelancong dan menawarkan lebih banyak destinasi baru pelancongan menarik yang wajar dikunjungi oleh warga daripada selatan Thai selepas hampir dua tahun ditutup akibat pandemik COVID-19.

Baginda bertitah ketika berangkat bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di perkarangan Robinson Department Store Hat Yai, Thailand yang disambut oleh Datuk Bandar Hat Yai Thailand, Police Lieutenant General Sakorn Thongmunee.

Turut hadir menyambut keberangkatan baginda ialah Timbalan Datuk Bandar Hat Yai, Ahmad Ben Ali, Setiausahanya Manop Pengchum dan ahli-ahli Majlis Perbandaran Hat Yai serta juga Store General Manager Central Retail Corporation, Jutarat Panmueng.

Datuk Bandar Hat Yai Thailand, Police Lieutenant General Sakorn Thongmunee mengalu-alukan keberangkatan Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda dan memaklumkan bahawa keberangkatan tetamu diraja dari Malaysia ini menghubungkan kembali pelancongan antarabangsa, merangsang ekonomi dan membina kembali keyakinan untuk para pengunjung Malaysia melawat Hat Yai yang terletak di dalam Wilayah Songkhla.

Thongmunee menyatakan bahawa masyarakat Hat Yai sentiasa bersedia untuk menyambut kembali kedatangan para pelawat Malaysia dan juga dari semua negara lain. Premis perniagaan, hotel serta lokasi-lokasi produk tarikan pelancong di Hat Yai juga sudah bersedia untuk mengamit serta menjaga kehadiran semua dengan sebaik mungkin bagi memberikan keselesaan sepanjang masa mereka berada di sana.

Pada masa yang sama, Thongmunee memohon pelbagai pihak khususnya mereka yang terlibat dalam sektor pelancongan untuk terus bekerjasama dengan pihak kerajaan bagi menyediakan segala kemudahan dan keselamatan untuk para pelancong seperti pada masa lalu sebelum krisis COVID-19.

Sementara itu, Ketua Polis Perlis, DCP Dato’ Surina Saad yang mengiringi baginda berkata urusan sempadan di Padang Besar juga kini mula sibuk kembali selepas dibuka semula baru-baru ini setelah terpaksa ditutup kepada pelancong selama lebih dua tahun akibat COVID-19.

Dalam pada itu, pemerhatian Tuanku Raja Muda pada kali ini melihat masyarakat tempatan di sana menjaga SOP walaupun dalam kesibukan bagi meningkatkan pemulihan ekonomi. Mereka amat berdisplin dalam aspek pemakaian pelitup separuh muka dan  walaupun  jumlah kes harian jangkitan COVID-19  sudahpun berada dalam keadaan agak terkawal. Tuanku Raja Muda turut menasihatkan masyarakat supaya terus mematuhi segala SOP termasuklah bagi mereka yang mengembara ke luar negara.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.