Oleh Dr. Rosmani Omar
7 Mei 2022, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan menerima sembah mengadap Major Jeneral Polis (Bersara) Dato’ Pichate Pitisathepan.

Padang Besar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya semua pihak memanfaatkan sepenuhnya pembukaan pintu sempadan negara susulan pengisytiharan fasa endemik pasca COVID-19. Hal ini demikian kerana potensi dan peluang daripada pembukaan pintu sempadan negara sama ada dengan negara Thailand, Indonesia mahupun Singapura yang dioptimumkan dapat memberikan impak kepada ekonomi semua pihak. Titah baginda:

Usahawan mikro misalnya, boleh mempertingkatkan pemasaran produk dengan lebih agresif ditambah dengan pemantapan aktiviti pemasaran dalam talian yang telah dilaksanakan sepanjang fasa pandemik. Fasa ini juga harus dilihat sebagai pembuka ruang dan peluang untuk menerokai bidang baharu dalam aktiviti ekonomi rentas sempadan sejajar dengan amalan norma baharu pasca COVID.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan menerima sembah mengadap Major Jeneral Polis (Bersara) Dato’ Pichate Pitisathepan yang merupakan Ketua Koordinator Program Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Thailand dan isteri beliau, Datin Nuranee Pitisathepan bersempena dengan Program Mahabbah Aidilfitri MAIPs – Wilayah Satun anjuran MAIPs di Terminal ICQ sempadan Thailand-Malaysia di Wangprachan – Wang Kelian tengah hari semalam.

Tuanku Raja Muda Perlis sekitar Program Mahabbah Aidilfitri MAIPs – Wilayah Satun anjuran MAIPs di Terminal ICQ sempadan Thailand-Malaysia di Wangprachan – Wang Kelian.

Turut hadir dalam program sembah mengadap tersebut ialah Yang DiPertua Majlis Agama Islam Wilayah Satun, Haji Harun Umachi dan Ketua Pegawai Daerah Muang Satun, Pirapat Ngerncharoen serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan Ketua Penyelaras Malaysia bagi Jaringan MAIPs dengan Majlis Agama Islam 6 Wilayah Andaman Thailand, Datuk Zul Aznam Haron dan timbalannya, Ashidan Mat Isa.

Menurut Haji Mohd Nazim, “Sebagai negeri paling utara Malaysia yang berjiran dengan negara Tailand khususnya pesisir lautan Andaman, MAIPs menggalas amanah menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang pengurusan hal ehwal Islam dan bahasa Melayu melalui kerjasama eratnya bersama-sama Majlis Agama Islam 6 Wilayah Andaman Thailand”.

Pada tahun 2022, MAIPs mensasarkan pelaksanaan program Ziarah Mahabbah yang dilaksanakan saban tahun sejak 2015. Selain itu, MAIPs juga merancang untuk melaksanakan Seminar Ummatan Wahidah yang melibatkan MAIPs dan Majlis Agama Islam 6 Wilayah Andaman yang terdiri daripada Wilayah Krabi, Phuket, Trang, Phang Nga dan Ranong selain Satun yang menjadi urus setia perhubungan antara kedua-dua belah pihak.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!