28 April 2022, 08:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Petunjuk ekonomi bagi tiga bulan pertama tahun 2022 menunjukkan prospek ekonomi Malaysia yang positif dalam masa terdekat dengan mobiliti yang tinggi dijangka berlaku susulan pembukaan sempadan antarabangsa seperti yang dilaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini dijangka meningkatkan permintaan barangan dan perkhidmatan yang seterusnya akan merangsang ekonomi. “Namun begitu, senario global yang berterusan akan meningkatkan harga komoditi yang mendorong kepada jangkaan inflasi. “Jumlah perdagangan negara mengekalkan prestasi kukuhnya dengan mencatatkan pertumbuhan 17.5%, mencecah RM184.8 bilion daripada RM157.3 bilion pada Februari 2021.” Kedua-dua eksport dan import masing-masing melonjak kepada 16.8% dan 18.4% tahun ke tahun dengan merekodkan sebanyak RM102.3 bilion dan RM82.5 bilion, menyumbang kepada lebihan dagangan yang melebar sebanyak 10.7%.

Sementara itu, jumlah perdagangan Malaysia mengekalkan momentum dua angka pada Mac 2022 berkembang sebanyak 27.3%. Eksport meningkat sebanyak 25.4%, import tumbuh sebanyak29.9% dan imbangan perdagangan kekal dalam lebihan, naik sebanyak 10.3%. Mengenai prestasi sektoral, beliau menambah berikutan peningkatan dalam indeks pembuatan (5.2%) dan indeks elektrik (3.9%), Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 3.9% pada Februari 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. Sementara itu, nilai jualan pembuatan Malaysia pada Februari 2022 berjumlah RM131.6 bilion, mengukuh sebanyak11.2% berbanding tahun lalu.
Menyentuh tentang senario buruh negara pula, beliau menyatakan bahawa kerancakan semula aktiviti ekonomi dan sosial yang berterusan mendorong kepada pemulihan perniagaan dan kebangkitan semula sektor pelancongan domestik yang banyak membawa manfaat kepada situasi buruh Malaysia. Bilangan penduduk bekerja pada bulan Februari 2022 meningkat sebanyak 3.0% kepada 15.73 juta orang.
Justeru, nisbah guna tenaga kepada penduduk meningkat sebanyak 1.1% kepada 66.3% pada bulan Februari 2022, iaitu lebih tinggi daripada bulan Februari tahun lalu, iaitu sebanyak 65.2%. “Sementara itu, kadar pengangguran bertambah baik berbanding dengan bulan sebelum dengan merekodkan sebanyak 4.1%.”
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.