Oleh Ritah Yahaya
21 April 2022, 15:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terus komited memastikan Keluarga Malaysia dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini.

Kementerian  melaksanakan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam pada 5 Februari 2022 dan sedang berkuat kuasa hingga 5 Jun 2022 sebagai langkah untuk menstabilkan harga ayam dan telur ayam serta memastikan keberadaan bekalannya di pasaran.

Permintaan terhadap barangan tertentu juga dijangka meningkat menjelang perayaan Hari Raya Puasa yang bakal disambut pada 3 Mei 2022. Sebagai langkah menstabilkan harga barangan dan memastikan keberadaan bekalan di pasaran sebelum, semasa dan selepas perayaan,

Kementerian akan meneruskan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (HRP) 2022 yang akan berkuat kuasa pada 26 April hingga 6 Mei 2022, iaitu tujuh hari sebelum, semasa dan tiga  hari selepas perayaan.

Sebanyak 22 jenis barangan akan ditetapkan dengan harga maksimum semasa pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (HRP) 2022 yang melibatkan kategori hasil laut, barangan kering, sayuran dan daging.

Jumlah barangan harga terkawal bagi pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam serta Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (HRP) 2022 melibatkan 28 jenis barangan daripada kategori ayam, telur ayam, sayur, barangan kering, sayuran, dan daging.

Senarai harga barangan harga terkawal bagi SKIM HARGA MAKSIMUM MUSIM PERAYAAN (HRP) 2022 adalah seperti yang berikut:

i.     Daging lembu tempatan (kecuali bahagian batang pinang).
ii.    Daging lembu import (*Harga maksimum di Sarawak sahaja).
iii.   Daging kerbau import (*Harga maksimum di Semenanjung Malaysia, Sabah dan WP          Labuan sahaja).
iv.    Ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara lapan ekor hingga 12 ekor setiap           kilogram).
v.      Ikan selayang (berat antara lapan ekor hingga 12 ekor setiap kilogram).
vi.    Ikan aya/tongkol (berat antara seekor hingga dua ekor setiap kilogram).
vii.    Ikan Demudok/Sagai/Cermin/Cupak (Sabah sahaja).
viii.  Tomato.
ix.     Cili merah.
x.      Kubis bulat Import (Indonesia dan China, tidak termasuk kubis Beijing).
xi.     Kacang panjang.
xii.    Terung panjang.
xiii.   Timun.
xiv.    Halia tua import.
xv.     Bawang merah besar import.
xvi.    Bawang besar Holland.
xvii.   Bawang putih (China).
xviii.  Ubi kentang import (China).
xix.    Cili kering.
xx.     Kacang tanah
xxi.    Kelapa biji (borong sahaja).
xxii.   Kelapa parut (runcit sahaja).

Senarai harga barangan harga terkawal bagi PENENTUAN HARGA AYAM DAN TELUR AYAM adalah seperti yang berikut:
i. Ayam hidup
ii. Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya).
iii. Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal).
iv. Telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram sebiji hingga 69.9 gram sebiji)
v. Telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram sebiji hingga 64.9 gram sebiji)
vi. Telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram sebiji hingga 59.9 gram sebiji)

Penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi oleh harga dari negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan
peningkatan kos utiliti penternak.

KPDNHEP menentukan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit berdasarkan kepada maklumat harga yang dikenal pasti daripada punca yang berikut:

i. Pemantauan harga di semua daerah di seluruh negara sepanjang tahun 2021 dan dari bulan Januari hingga April 2022 berdasarkan kepada pungutan harga yang ditetapkan secara mingguan oleh KPDNHEP.

ii. Pandangan pelbagai agensi Kerajaan yang berkaitan, iaitu Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Jabatan Perikanan (DOF), Lembaga Perikanan Malaysia (LKIM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS)

iii. Perbincangan dengan pengeluar, pengimport, pembekal danpemborong barangan                tersebut.

Anggota Penguat Kuasa KPDNHEP akan berada di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari bagi memastikan pematuhan oleh peniaga sepanjang tempoh pelaksanaan skim ini.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan bekerjasama membuat pemantauan untuk memastikan bekalan barangan mencukupi dan memastikan harga di pasaran berpatutan dan seterusnya memastikan keberadaan bekalan di pasaran.

Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah Skim ini. Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti yang berikut:

(i) Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum:(a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah hingga RM100 000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun hingga RM50 000.00, dan

(b) Syarikat; boleh didenda hingga RM500 000.00 atau dikompaun hingga RM250 000.00

(ii) Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal:
(a) individu; boleh didenda oleh mahkamah hingga RM10 000.00 atau dikompaun hingga RM5 000.00 dan
(b) syarikat; boleh didenda sehingga RM20 000.00 atau dikompaun hingga RM10 000.00

Sekiranya pengguna mempunyai maklumat berkenaan salah laku
peniaga berhubung perkara ini boleh melaporkan kepada pihak KPDNHEP
melalui saluran berikut:
i. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000
ii. Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my
iii. Call Centre 1-800-886-800
iv. Emel [email protected]
v. Ez ADU KPDNHEP

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!