21 April 2022, 08:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Jumlah dagangan Malaysia merekodkan pertumbuhan dua angka 27.3% tahun ke tahun pada Mac 2022 untuk mencapai nilai tertinggi baharu RM236.6 bilion. Nilai eksport dan import pada Mac sekali lagi memecahkan rekod tertinggi baharu, masing-masing pada RM131.6 bilion dan RM104.9 bilion.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa import Malaysia melepasi paras RM100 bilion buat kali pertama sejajar dengan lonjakan bagi barangan perantaraan yang menandakan aktiviti ekonomi domestik yang lebih baik.

Beliau menamba lebihan dagangan meningkat 10.3% daripada RM24.2 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM26.7 bilion, sekali gus menjadi lebihan dagangan untuk bulan ke-23 berturut-turut sejak Mei 2020. Pertumbuhan eksport pada Mac 2022 disokong oleh kedua-dua eksport domestik dan eksport semula. Eksport domestik bernilai RM106.9 bilion menyumbang 81.2% kepada jumlah eksport dan meningkat kukuh 22.8% tahun ke tahun. 
Sementara itu, beliau juga menambah eksport semula berjumlah RM24.7 bilion berkembang 38.0% berbanding Mac 2021. Seiring dengan prestasi eksport, import juga mencatatkan pertumbuhan kukuh 29.9% daripada RM80.8 bilion kepada RM104.9 bilion.
Beliau menyatakan bahawa peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke Singapura (+RM5.1 bilion), diikuti Jepun (+RM2.1 bilion), Korea (+RM1.8 bilion), Kesatuan Eropah (+RM1.8 bilion), China (+RM1.7 bilion), Taiwan (+RM1.4 bilion), Thailand (+RM1.4 bilion), Indonesia (+RM1.4 bilion) dan Amerika Syarikat (AS) (+RM1.3 bilion).
China kembali menjadi penyumbang utama kepada peningkatan import, meningkat RM3.4 bilion, diikuti Arab Saudi (+RM2.9 bilion), Taiwan (+RM2.8 bilion), Indonesia (+RM2.5 bilion), Singapura (+RM2.3 bilion), AS (+RM1.4 bilion) dan Thailand (+RM1.2 bilion). Peningkatan eksport itu didorong oleh barangan elektrik dan elektronik (+RM13.0 bilion); keluaran petroleum (+RM4.6 bilion); minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (+RM3.1 bilion); gas asli cecair (+RM2.5 bilion); petroleum mentah (+RM1.6 bilion) dan barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (+RM1.1 bilion).
Kenaikan import dicatatkan bagi barangan elektrik dan elektronik (+RM7.1 bilion); petroleum mentah (+RM6.1 bilion); keluaran petroleum (+RM3.0 bilion); kimia dan bahan kimia (+RM2.2 bilion); jentera, kelengkapan dan peralatan (+RM1.6 bilion); biji logam dan serpihan logam (+RM1.2 bilion) dan arang batu (+RM1.2 bilion). Menurut DOSM, bagi prestasi suku pertama 2022, jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan kekal kukuh dengan pertumbuhan dua angka.
Jumlah dagangan meningkat 23.6%, disokong oleh perkembangan eksport (+22.2%) dan import (+25.2%). Pada masa yang sama, lebihan dagangan mencatatkan nilai yang lebih tinggi pada RM65.1 bilion.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.