18 April 2022, 16:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 16 Mac 2022 lalu, Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri mengumumkan pengeluaran khas wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10 000.00 (maksimum) kepada ahli KWSP di bawah umur 55 tahun. Pengeluaran khas ini adalah yang keempat sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

Usul pengeluaran khas ini diperjuangkan oleh beberapa pihak untuk dibentangkan dalam Belanjawan 2022 pada tahun 2021. Ketika itu, kerajaan berpendapat bahawa tidak ada keperluan bagi pengeluaran tersebut. Tambahan pula, berdasarkan statistik, sebanyak RM101 bilion telah dikeluarkan oleh 7.4 juta orang ahli KWSP menerusi tiga siri pengeluaran.

Pengeluaran tersebut menyaksikan 6.1 juta orang ahli kini mempunyai kurang daripada RM10 000.00 sebagai simpanan persaraan KWSP, yang 3.6 juta daripadanya hanya mempunyai kurang daripada RM1000.00 dalam akaun KWSP.

Peristiwa banjir sekitar bulan Disember 2021 membangkitkan semula isu pengeluaran khas bagi masyarakat yang terkesan banjir sekali yang turut dihimpit masalah kewangan. Barangkali, inilah faktor utama yang mendorong kerajaan membenarkan pengeluaran khas keempat ini.

Menteri Kewangan Malaysia, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul  Tengku Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan bahawa dividen KSWP 2021 sepatutnya boleh mencecah sebanyak 6.7%, dan bukan hanya sebanyak 6.1% sekiranya tiada pengeluaran simpanan yang dilakukan.

Dengan pengeluaran khas terbaharu ini, dalam tempoh 14 hari sistem permohonan dibuka, sebanyak 5.3 bilion permohonan bernilai RM40.1 bilion diterima oleh KWSP. Perkara ini mungkin mengakibatkan KWSP terpaksa menjual aset portfolio di  luar negara yang akan menjejaskan pendapatan pelaburan dalam jangka masa panjang.

Sejujurnya, penulis berpendapat bahawa pengeluaran KWSP ini akan menjadi lebih cekap sekiranya ini dibuat secara bersasar, bukan secara pukal. Hal ini demikian kerana pengeluaran secara bersasar bukan sahaja dapat membantu golongan terkesan, malah turut menjaga kepentingan pencarum KWSP yang tidak membuat pengeluaran. Selain itu, kaedah ini juga dapat mengawal individu yang tidak mempunyai keperluan untuk mengeluarkan wang KWSP daripada berbelanja secara tidak berhemat.

Pengeluaran wang KWSP tanpa pengawasan yang cermat, akan memberikan kesan buruk kepada ahli di bawah umur 55 tahun pada masa akan datang. Negara kita bakal menjadi negara tua menjelang tahun 2044. Maka, rakyat perlu diingatkan tentang kepentingan merancang simpanan persaraan untuk hari tua.

Warga emas di Malaysia, secara amnya bergantung pada wang pencen atau simpanan KWSP untuk menampung keperluan hidup. Namun, peningkatan jangka hayat individu yang seiring dengan kos sara hidup yang tinggi membuatkan simpanan yang ada berkemungkinan besar tidak mencukupi.

Literasi kewangan, khasnya dalam aspek simpanan persaraan adalah sangat penting bagi menangani impak negatif proses penuaan penduduk. Meskipun kehidupan pada usia emas dilihat lebih sederhana, namun perbelanjaan yang besar diperlukan, terutamanya dari aspek kesihatan dan penjagaan. Oleh itu, keputusan individu berhubung dengan pengeluaran wang KWSP ini dilihat sangat kritikal. Bak kata pepatah “Awal dikenal, akhir tidak. Alamat badan akan rosak”.

Secara keseluruhannya, tindakan kerajaan mengumumkan pengeluaran khas wang KWSP keempat ini harus dihormati. Kita faham akan keperluan mendesak yang dihadapi oleh sesetengah pihak. Namun, pada akhirnya, segala baik dan buruk tindakan pengeluaran itu bergantung pada keputusan individu. Maka, berfikirlah dan bertindaklah dengan bijak!

Dr. Nurul Afidah Mohamad Yusof ialah Penolong Profesor di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Kewangan, Universiti Tunku Abdul Rahman.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.