16 April 2022, 08:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Invest Selangor Bhd menyatakan bahawa pandemik yang tidak dapat diramal dan kelewatan pertumbuhan ekonomi menyumbang kepada pelaburan langsung asing (FDI) ke Selangor yang lebih rendah pada 2021. Cabang pelaburan kerajaan negeri Selangor itu menambah FDI yang lebih rendah turut disebabkan ketiadaan misi promosi dan sesi libat urus negeri berkenaan di luar negara berikutan penutupan sempadan antarabangsa.
“Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Selangor menerima sebanyak RM7.5 bilion nilai pelaburan dalam sektor pembuatan pada 2021, disumbangkan terutamanya oleh pelaburan langsung domestik (DDI) dengan nilai pelaburan RM6.1 bilion. “Projek pelaburan dalam sektor getah, kimia, elektrik dan elektronik, dan kelengkapan pengangkutan merupakan antara industri utama dengan sumbangan 71% bernilai RM5.36 bilion kepada jumlah nilai pelaburan.” 

Invest Selangor menambah kluster industri tumpuan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada nilai pelaburan yang diluluskan. Agensi itu menyatakan bahawa di sebalik prestasi pelaburan yang lebih rendah, Selangor terus menerima jumlah projek pembuatan tertinggi dan mencipta peluang pekerjaan tertinggi di Malaysia iaitu 247 projek pelaburan dan 14 393 peluang pekerjaan untuk pekerja pelbagai bakat dan berbilang kemahiran.
Menurut kenyataan itu, Selangor telah berada di hadapan pada setiap tahun sejak tahun 2017 dan menerima sebanyak 1329 projek pelaburan dengan jumlah pelaburan modal RM67.5 bilion.
Projek-projek ini melahirkan sebanyak 83 934 peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan di Selangor. “DDI kekal sebagai sumber kukuh pelaburan bagi Selangor. Sejak tahun  2017, negeri ini menerima RM31.1 bilion (46% daripada jumlah pelaburan dalam sektor pembuatan untuk tahun 2017-2021), di samping mempertahankan DDI dengan purata RM6 bilion pada setiap tahun. “Selangor akan terus menumpukan untuk menarik projek bernilai tinggi dan memberi impak kepada pelabur domestik dan asing berpotensi serta mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi kepada lebih 6.5 juta penduduknya.”
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.