10 April 2022, 07:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru usahawan agar menguasai pelbagai teknologi baharu khususnya pendigitalan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus perdana. Menurut beliau, segenap rangkaian ekonomi kini berdepan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang membawa pelbagai teknologi baharu.  “MyDIGITAL” adalah satu inisiatif yang mencerminkan aspirasi kerajaan mentransformasikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi, berpacukan pendigitalan dan sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital. Oleh yang demikian, pendedahan kepada mahasiswa berkaitan dunia keusahawanan adalah amat digalakkan memandangkan golongan ini amat menguasai kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Baru-baru ini, program TV realiti MOHE STAR BIZ CHALLENGE: TAIKUN MUDA yang julung kalinya telah diadakan berjaya menarik seramai 89 penyertaan daripada 38 buah IPT seluruh negara dan hanya 11 orang finalis dari 9 buah IPT telah dipilih bagi berentap merebut 4 hadiah utama. Penganjuran program TAIKUN MUDA ini turut menjadi manifestasi Kementerian dalam memperkukuhkan lagi agenda keusahawanan di IPT dengan mempromosikan keusahawanan sebagai antara pilihan terbaik pelajar dan graduan untuk menjana pendapatan. Program ini adalah untuk membuka peluang kepada usahawan pelajar menonjolkan diri melalui idea-idea segar, kreatif dan inovatif dan menjadi usahawan berjaya pada masa hadapan. Peserta akan dibimbing oleh usahawan berjaya tentang ilmu perniagaan dan dana Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah menganjurkan Program Keusahawanan: Reality Show MoHE Star Biz Challenge-Taikun Muda. Tayangan program ini telah disiarkan menerusi TV ALHIJRAH pada setiap hari Rabu jam 9.30 malam selama enam minggu bermula 23 Februari. Manakala Episod awal Kapsul Taikun Muda sebanyak empat (4) episod disiarkan di saluran Youtube UMK TV, Facebook UMK dan Facebook TV Alhijrah.

Acara kemuncak pada 30 Mac 2022, program yang disiarkan secara langsung menerusi rakan media saluran TV Alhijrah dari Dewan Eksprimental, UMK tersebut telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi yang turut menyampaikan hadiah serta sijil dan trofi kepada para pemenang. Muhammad Faizal Ruhaijat dari UPSI telah dinobatkan sebagai juara sulung pertandingan tersebut yang turut menyampaikan hadiah serta sijil dan trofi kepada para pemenang semalam. Muhammad Faizal yang telah membentangkan cadangan produk Kimono Cardigan Inspired by Batik Malaysia itu telah menerima hadiah utama iaitu geran keusahawanan bernilai RM50,000, manakala pemenang tempat kedua iaitu saudari Adlina Jamaluddin dari UPM dengan produk Teh Tarik Tudya-SR, turut menerima geran keusahawanan berjumlah RM20,00.00. Untuk tempat ketiga, pelajar dari UM iaitu saudara Shafiq Ramiyani dengan persembahan produk Akifcafe telah membawa pulang wang tunai RM2,500 serta sebuah motosikal, dan hadiah tempat keempat iaitu wang tunai RM1,500 juga sebuah motosikal telah dimenangi oleh saudara Muhammad Yazid Abdul Mutalib dari UPNM yang membentangkan idea aplikasi TUKANG.

Tiga anugerah khas lain turut disediakan oleh penaja iaitu Anugerah Most Innovative Award dimenangi oleh Muhammad Farisfahmi Mamat dari UMK, hadiah Most Versatile Award diberikan kepada Nur Huda Hamka dari Universiti Malaysia Sarawak dan Anugerah Most Outstanding Award dimenangi oleh Muhammad Qais Amiri Jamalludin dari Kolej Komuniti Kuala Langat. Hadiah telah disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UMK, Tan Sri Hj. Mohamad Fatmi Bin Hj. Che Salleh. Manakala panel juri profesional terdiri dari Tuan Haji Mohd Nazri Chik, Ketua Pegawai Rangkuman Kewangan Kumpulan, Bank Islam Malaysia Berhad, YBhg. Dato’ Seri (Dr.) Michael Tio, Ketua Pegawai Eksekutif, PKT Logistics Group Sdn. Bhd., Prof. Dr. Nik Maheran dan Puan Zuraini Binti Hasanuddin, Ketua Pegawai Eksekutif, Geo Artha International (M) Sdn. Bhd.

Program Rancangan Realiti TV MOHE Star Biz Challenge-Taikun Muda telah mendapat tajaan dari Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) selaku penaja utama dan rakan strategik lain yang turut menyokong program ini iaitu Ain Medicare Sdn. Bhd, Gas Pantai Timur Sdn. Bhd, PKT Logistics Sdn Bhd, Zakaria Sulaiman Hardware Sdn Bhd (Tukang Mart), Risha Wave, Docnan Industries Sdn. Bhd., Hotel Perdana Kuala Lumpur City Centre, Ridel Boutique Hotel, dan Hotel H Elite Design. Seramai 11 peserta finalis dipilih mewakili UMK, UNISZA, UNIMAS, UPSI, UKM, UM, UPM, UIAM, UPNM, dan Kolej Komuniti Kuala Langat dan semua peserta ini terlibat dalam rakaman enam (6) episod rancangan realiti keusahawanan Taikun Muda.

Turut hadir YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, TKSU (Dasar) KPT, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UMK, Tan Sri Hj. Mohamad Fatmi bin Hj. Che Salleh, Naib Canselor UMK, Profesor Dr Razli bin Che Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad, Encik Mohd Muazzam bin Mohamed, Naib-naib Canselor universiti awam, Pengarah-pengarah Pusat Keusahawanan IPT dan tetamu kehormat yang lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.