9 April 2022, 08:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Genting Berhad akan mencari peluang pelaburan baharu bagi melengkapkan perniagaan sedia ada bagi membolehkan mereka berkembang sejajar dengan pemulihan ekonomi global. Pengerusi dan Ketua Eksekutif, Tan Sri Lim Kok Thay menyatakan bahawa pihaknya akan memantau rapat persekitaran perniagaan dan mengambil langkah proaktif untuk mengukuhkan perniagaannya.
Beliau menambah walaupun berdepan cabaran pandemik COVID-19, kumpulan itu berjaya membuktikan keupayaan untuk beroperasi dengan cekap dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa. “Pemulihan ekonomi global daripada wabak kesihatan ini dijangka berterusan, disokong oleh kemajuan program vaksinasi seluruh dunia dan kelonggaran langkah pembendungan apabila virus COVID-19 menjadi endemik. “Bagaimanapun masih ada risiko yang akan mengganggu pertumbuhan global seperti evolusi varian COVID-19, krisis geopolitik, gangguan rantaian bekalan berterusan, peningkatan harga bahan api dan risiko inflasi,” katanya dalam Laporan Tahunan Genting 2021. 

Beliau menyatakan bahawa kumpulan itu sentiasa menggalakkan pendekatan berdisiplin dalam menguruskan peruntukan modal dan strategi kepelbagaian perniagaan bagi membolehkan mereka mengharungi kesan akibat pandemik. Beliau menambah Genting Malaysia berjaya mengumpul AS$1.0 bilion (RM4.22 bilon) melalui penerbitan bon sulung dalam denominasi dolar Amerika Syarikat (AS) pada April 2021 bagi membiayai semula hutang selain modal kerja dan bagi tujuan korporat am.
Pada 2021, prestasi Genting secara keseluruhan bertambah baik terutamanya berikutan prestasi bahagian keriadahan dan hospitaliti serta bahagian perladangan yang lebih baik.
Kumpulan itu telah mencatatkan pendapatan RM13.5 bilion pada 2021, penambahan sebanyak 17 peratus tahun-ke-tahun, sementara pendapatan terlaras sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA diselaraskan) iaitu satu penunjuk prestasi operasinya ialah RM4.0 bilion pada 2021, penambahan sebanyak 38% tahun-ke-tahun.
Kerugian bersihnya telah menurun dengan berjumlah RM1.4 bilion pada 2021 berbanding RM2.1 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.