29 Mac 2022, 08:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bayan Baru – Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) melebarkan operasinya di Pulau Pinang menerusi pembukaan pejabat operasi yang baharu. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Matthew menyatakan bahawa pembukaan pejabat operasi itu merupakan salah satu usaha pihaknya mengukuhkan kedudukannya di kawasan utara.

Tambahnya, pejabat baharu TalentCorp dan MYXpats di Bayan Baru akan berperanan sebagai penghubung kolaborasi dengan majikan untuk dalam pembangunan bakat pekerja di negara ini. Beliau turut menyatakan syarikatnya dapat membantu pemain industri di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang dijangka memerlukan 30 000 peluang pekerjaan baharu. “Dengan kewujudan pejabat baharu di Bayan Baru ini, TalentCorp berharap dapat memberi khidmat lebih baik di wilayah utara Malaysia, bukan sahaja membantu sektor swasta dan awam membina pertumbuhan mereka sendiri, tetapi juga membolehkan Malaysia mencapai aspirasi ekonominya. “Kewujudan MYXpats di Pulau Pinang juga menyasarkan untuk menambah baik masa pemprosesan bagi perkhidmatan di rantau itu.”

Beliau menambah bahawa pejabat baharu itu merupakan cawangan pertama TalentCorp di luar Lembah Klang. Selain beroperasi di Pulau Pinang, Talent Corp juga dapat melebarkan sayap di Kedah, Perlis dan Perak selepas ini dalam usaha mencari bakat baharu pekerja di kawasan utara. “Hasil pertumbuhan ini, TalentCorp berhasrat mengukuhkan kedudukannya di wilayah utara dengan menyediakan perkhidmatan kepada syarikat yang memerlukan maklumat dan bantuan mengenai inisiatif yang ada sehingga mereka berjaya.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.