25 Mac 2022, 07:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merangkap Tuanku Pengerusi YTF berkenan merasmikan majlis ”Penutupan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) – Edisi Keusahawanan Sosial”.

Baginda bertitah bahawa sesungguhnya bidang keusahawanan merupakan satu sektor yang penting dalam membantu menjana ekonomi negara. Keusahawanan hari ini bukanlah satu bidang yang hanya boleh diceburi oleh kaum lelaki sahaja, malah kaum wanita turut mencipta nama dalam memperkasakan ekosistem ini. Justeru, sesebuah negara yang ingin maju dari pelbagai aspek perlulah memantapkan bidang keusahawanan dalam kalangan wanita.

Baginda juga bertitah kebolehan dan kesungguhan kaum wanita yang bijak menguruskan keluarga dan kerjaya khususnya sebagai usahawan amat membanggakan serta harus dikekalkan. Atas sebab inilah, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) komited menyokong usaha bagi membuka mata semua untuk memperkasakan lagi usahawan wanita. Baginda mendoakan para wanita di Malaysia supaya terus maju dalam bidang keusahawanan sosial agar dapat menjana ekonomi negara yang kekal teguh dan perkasa di mata dunia.

Demikian titah Raja Puan Muda yang juga merangkap Tuanku Pengerusi YTF ketika berkenan merasmikan majlis Penutupan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) – Edisi Keusahawanan Sosial.

Webinar ini dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (KUSKOP) melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan dikuasakan oleh Yayasan Tuanku Fauziah (YTF). Baginda bertitah masyarakat perlu akui bahawa skop keusahawanan sosial ialah meluas dan merentasi industri seperti pendidikan, sosial dan pembangunan belia. Keadaan itu menunjukkan lebih banyak peluang keusahawanan sosial yang boleh diceburi wanita dan pelbagai usaha perlu dilipatgandakan demi memantapkan ekosistem keusahawanan negara.

Tuanku Hajah Lailatul Shahreen turut menitahkan ucapan syabas dan tahniah kepada mereka yang berjaya membantu menyelesaikan isu sosial melalui perniagaan masing-masing.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.