22 Mac 2022, 14:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Rangkuman kewangan sering kali menjadi fokus perbincangan ekonomi pada peringkat nasional dan global. Rangkuman kewangan atau kewangan inklusif, mempunyai objektif agar perkhidmatan kewangan formal dapat diakses oleh setiap bahagian masyarakat, bukan hanya memfokuskan golongan yang berada di atas piramid ekonomi.

Aspek rangkuman kewangan meliputi akses kepada pembiayaan, pembayaran, bantuan penyelesaian kewangan, dan literasi kewangan. Manakala, fokus sasarannya merupakan bahagian masyarakat yang tidak atau kurang mendapat perkhidmatan kewangan.

Usaha mencapai rangkuman kewangan di Malaysia diterajui oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Rangkuman kewangan merupakan teras penting yang meyokong pembangunan institusi kewangan negara. Inti pati pencapaian rangkuman kewangan terletak pada pembangunan produk dan servis yang inovatif.

Mendalami isu ini, kita tidak dapat mengelak daripada membincangkan hubungan saling pengaruh antara fintech dengan rangkuman kewangan. Sebagai inovasi teknologi bagi produk dan servis kewangan, fintech berperanan mempromosikan rangkuman kewangan. Hal ini dapat dicapai melalui pengurangan jurang maklumat asimetri, pengurangan kos transaksi, padanan pembiaya, dan peminjam yang lebih efisien, pengurangan halangan kemasukan, dan peningkatan ekonomi skala.

Kebiasaannya, peminjam mempunyai lebih banyak maklumat berkenaan projek mereka berbanding dengan pembiaya. Mereka mungkin bertindak mengambil risiko yang lebih tinggi daripada apa-apa yang mereka nyatakan. Dengan menggunakan algoritma dan maklumat elektronik lain menerusi aplikasi fintech, institusi kewangan dan perbankan dapat menilai sama ada peminjam akan menggunakan pinjaman tersebut untuk pelaburan bona fide atau sebaliknya.

Teknologi juga dapat mempercepat proses transaksi, menjadikan kos per transaksi lebih rendah. Teknologi menerusi pemprograman komputer juga membolehkan padanan antara pembiaya dengan peminjam menjadi lebih efisien, bergantung pada kehendak kedua-dua pihak. Di samping proses yang lebih cepat dan tepat, aspek padanan oleh komputer ini juga bersifat berbagai-bagai-bagai dimensi berbanding dengan penilaian oleh seseorang pegawai institusi kewangan.

Inovasi dan teknologi dalam perkhidmatan kewangan secara amnya dilihat dapat membantu untuk mengurangkan kos transaksi, seterusnya meningkatkan pendapatan boleh guna (disposable income) yang boleh dilaburkan untuk meningkatkan pengumpulan aset, dan akhirnya meningkatkan taraf hidup. Melalui pengurangan kos tetap operasi, fintech juga dapat mengurangkan halangan kemasukan industri.

Dalam hal yang sama, inovasi rangkuman kewangan harus mengadaptasikan perkhidmatan kewangan kepada konteks, kondisi, dan pilihan oleh bahagian masyarakat yang berpendapatan rendah. Di samping itu, rangkuman kewangan harus distrukturkan agar menjadi penyelesaian yang lestari bagi jangka masa panjang.

Akhir sekali, fintech juga dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi skala. Sebagai contohnya, ekonomi skala dapat dicapai apabila dua platform sistem yang berbeza saling bekerjasama dan berkongsi maklumat, dan seterusnya membolehkan pemasaran bersasar dilaksanakan terus kepada pelanggan.

Jelaslah bahawa trend dan inovasi digital masa kini yang kebanyakannya melibatkan teknologi telefon mudah alih membolehkan segenap lapisan masyarakat mendapatkan akses kepada pelbagai perkhidmatan kewangan dengan lebih pantas dan mudah.

Teknologi terkini mengambil peluang atas situasi di mana majoriti masayarakat memiliki telefon mudah alih. Malah, kajian mengunjurkan bahawa pada tahun 2021, lebih banyak populasi global dunia mempunyai telefon mudah alih berbanding dengan akaun bank.

Setakat ini, tahap rangkuman kewangan di Malaysia dilaporkan oleh Bank Dunia sebagai memuaskan. Keadaan ini dipengaruhi oleh penyeliaan BNM secara rapi. BNM aktif memperkasakan kedua-dua institusi dan pasaran kewangan negara bagi membolehkan pembangunan instrumen dan servis kewangan boleh dicapai oleh golongan yang tidak atau kurang mendapat perkhidmatan kewangan. Dengan pembangunan pesat dalam bidang teknologi, maka fintech sewajarnya diadaptasikan dalam inisiatif akan datang bagi meningkatkan pencapaian dalam rangkuman kewangan negara.

 

Dr. Nurul Afidah Mohamad Yusof ialah Penolong Profesor di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Kewangan, Universiti Tunku Abdul Rahman.

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.