18 Mac 2022, 08:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Nilai ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS selepas Rizab Persekutuan menaikkan kadar faedah buat kali pertama sejak tahun 2018 dalam usaha untuk mengatasi inflasi. Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan diniagakan tinggi pada 4.1815/1860 berbanding dolar AS daripada 4.1965/1995 pada penutup hari Rabu.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid menyatakan bahawa ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS telah memutuskan untuk menaikkan Kadar Dana Persekutuan sebanyak 25 mata asas, menjadikan kadar faedah penanda aras kepada 0.50%. Beliau menambah berdasarkan ramalan baru-baru ini, nampaknya kadar faedah akan terus dinaikkan sebanyak suku peratusan mata dalam setiap mesyuarat sepanjang tahun 2022.

“Ini boleh menjadikan Kadar Dana Persekutuan kepada 2.00% menjelang akhir tahun ini. Pasaran telah pun mengambil kira langkah sedemikian dan oleh itu, pasaran ekuiti telah memberikan tindak balas secara positif.” Hakikatnya, langkah monetari yang ketat seumpama itu adalah petunjuk bahawa aktiviti ekonomi semakin kukuh, dengan pasaran buruh menunjukkan daya tarikan yang baik.”

Mohd Afzanizam menambah ringgit sepatutnya menunjukkan prestasi baik hari ini, bergerak dalam julat antara paras RM4.18-RM4.19. “Malah, kadar dasar semalaman (OPR) sekiranya dinaikkan pada satu ketika pada masa hadapan boleh membantu mengukuhkan lagi nilai ringgit,” katanya. Pasaran mata wang juga lega kerana tanda-tanda kemajuan dalam rundingan damai Ukraine-Rusia telah menaikkan sentimen dalam kalangan pelabur.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama. Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0798/0834 daripada 3.0823/0847 pada penutup Rabu dan lebih tinggi berbanding yen Jepun pada 3.5174/5215 daripada 3.5461/5487. Bagaimanapun, mata wang tempatan menyuusut nilai berbanding pound Britain kepada 5.5008/5067 daripada 5.4790/4829 dan rendah berbanding euro kepada 4.6197/6247 daripada 4.6111/6144 semalam.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!