12 Mac 2022, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Industri perhotelan mampu bangkit semula tahun ini setelah hampir dua tahun terjejas akibat pandemik COVID-19. Pengurus Besar Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen KLIA, Wan Enderi Mohd Saad menyatakan bahawa sektor perhotelan kini bergerak dalam landasan betul untuk pemulihan operasi.

Beliau menambah bahawa keseluruhan industri kini mampu bernafas semula jika dibandingkan dalam tempoh lima hingga enam bulan lalu ketika kadar jangkitan masih lagi tinggi. Pihak hotel mengambil pendekatan mempelbagaikan strategi perniagaan termasuk berfungsi sebagai pusat kuarantin bagi memastikan operasi terus berjalan walaupun pada skala yang kecil ketika tempoh pandemik COVID-19. Movenpick KLIA merekodkan pertumbuhan kadar penginapan yang lebih baik susulan pembukaan ekonomi secara berperingkat mulai Oktober apabila dibuka semula November lalu.

“Kami melihat tempoh dua bulan terakhir 2021 sangat positif dan gembira apabila Januari 2022 juga tanpa diduga mencatatkan prestasi yang cemerlang. “Oleh itu, kami berharap trend pemulihan ini akan berterusan walaupun kami mengambil langkah berhati-hati terhadap persekitaran pandemik ketika ini.” Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan acara previu bufet iftar Ramadan di hotel tersebut baru-baru ini.

Movenpick KLIA dimiliki sepenuhnya Lembaga Tabung Haji dengan bertaraf lima bintang, mula dibuka pada 2018 dan diuruskan rangkaian perhotelan global terbesar, Accor berpangkalan di Perancis. Kompleks hotel di kawasan seluas tujuh hektar itu mengandungi 333 bilik serta berstatus patuh syariah terletak berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Wan Enderi menambah bahawa Movenpick KLIA akan menyambung semula perancangan yang sudah diatur sejak dua tahun lalu setelah  tertangguh akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan. “Antaranya, kami akan meneruskan projek taman tema air di aras bumbung pada tahun ini, selain menambah banyak kemudahan baharu untuk menarik ramai pelanggan khususnya berkeluarga atau berkumpulan.” Selain itu, pihak hotel juga kini bersedia menerima ribuan bakal jemaah haji sebelum mereka ke Tanah Suci.

Beliau juga yakin kemungkinan tahun ini tiada lagi penangguhan penghantaran kumpulan jemaah haji Malaysia berdasarkan pelbagai langkah protokol kesihatan ketat oleh kerajaan Arab Saudi bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

“Sehubungan itu, kami sudah merangka pelbagai pelan tindakan sekiranya Malaysia dapat menghantar semula jemaah haji untuk musim ini.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.