Oleh Ritah Yahaya
19 Februari 2022, 15:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor – (YBR) menyediakan peruntukan bantuan persekolahan bernilai RM570 000 kepada 5700 orang murid sekolah rendah dan menengah pada 26 buah lokasi di Johor bersempena dengan pembukaan semula sesi persekolahan pada bulan Mac akan datang.

Replika cek bantuan persekolahan disempurnakan oleh Yang Berhormat Tan Sri Noh Haji Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kepada wakil-wakil pemimpin tempatan. Turut hadir dalam sesi penyampaian ialah Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin, Dato’ Nur Jazlan Mohamed, wakil pemimpin tempatan Pulai, Tuan Haji Mohammad Khairi Haji A.Malik, wakil penduduk tempatan Iskandar Puteri, Syaiful Rizal Abdul Ghani Ketua Bahagian Operasi Menanggung Tugas Pengurus Besar YBR, serta Mohamad Ghazali Zainal Abidin Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR.

 

Bantuan persekolahan disempurnakan oleh Yang Berhormat Tan Sri Noh Haji Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (bertopi).

Sementara itu, Megat Zulkarnain berkata, sumbangan ini juga diharapkan dapat membantu mereka, terutamanya yang berada dalam kalangan keluarga B40 bagi meringankan urusan kewangan untuk menyediakan kelengkapan persekolahan bagi pembelian set baju, kasut dan stoking atau beg sekolah mengikut kesesuaian masing-masing.

Cakna dengan situasi masyarakat yang terkesan akibat gelombang COVID-19 yang melanda dan melihat kepada keadaan ekonomi yang tidak menentu, bantuan persekolahan dalam bentuk wang tunai sebanyak RM100.00 bagi persiapan persekolahan diharapkan akan dapat membantu para ibu bapa atau penjaga membuat persiapan awal untuk anak-anak dalam memulakan sesi akademik persekolahan 2022/2023.

“Bantuan yang disalurkan kepada mereka yang layak ini sedikit sebanyak dapat memberikan suntikan semangat kepada anak-anak untuk terus menuntut ilmu serta sebagai tanda ikhlas YBR dalam membantu mereka yang memerlukan dalam meneruskan kehidupan,” kata beliau.

Hingga kini, sebanyak 39 397 orang murid menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5.12 juta sejak tahun 2018. Bagi tahun 2022, sejumlah RM2.75 juta diperuntukkan dalam program bantuan persekolahan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.