7 Februari 2022, 15:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Kedah Rubber City (KRC) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Padang Terap berpotensi untuk menarik pelaburan bernilai RM10 bilion dan mewujudkan 15,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2025.

Beliau berkata, biarpun baharu sahaja dilancarkan, KRC telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM4 bilion yang bakal menjana hampir 7,000 peluang pekerjaan kepada Keluarga Malaysia.

Tambah beliau, sebagai contoh, kerjasama strategik di antara Mitsui & Co (Malaysia) Sdn Bhd dengan Hong Seng Consolidated Berhad (Hong Seng) melibatkan pelaburan kira-kira RM3 bilion untuk KRC.

“Kerjasama ini akan mengukuhkan rantaian bekalan bahan mentah dalam pembuatan polimer NBL dengan kepakaran Mitsui dalam industri ini. “Pelaburan ini bukan sahaja bakal mewujudkan 1,600 peluang pekerjaan baharu tetapi juga dapat mengurangkan kebergantungan terhadap import polimer NBL kerana Hong Seng akan memindahkan teknologi canggih baharu yang diperoleh kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Projek Strategik NCER – KRC di Ladang Bukit Ketapang, Kuala Nerang. Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran sembilan dokumen kerjasama antara NCIA dan pelabur serta rakan-rakan strategik dalam pembangunan KRC.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Eksekutif NCIA Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.