Oleh Ritah Yahaya
5 Februari 2022, 15:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Peningkatan harga Minyak Sawit Mentah (MSM) selama dua hari berturut-turut pada paras RM5750 setiap tan pada 3 Februari 2022 dan 4 Februari 2022 pastinya memberikan khabar gembira dan keuntungan kepada hampir 400 000 orang pekebun kecil di seluruh negara kerana berada pada harga tertinggi  dalam sejarah industri sawit negara.

Peningkatan ini ialah bukti komitmen Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui agensi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) bersama Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) dalam membantu rakyat menerusi pelbagai inisiatif dan dasar Kerajaan.

3. KPPK akan terus berusaha memperluas pasaran minyak sawit Malaysia ke pasaran luar negara, khususnya di Asia Barat seperti di Turki dan Arab Saudi memandangkan terdapat peningkatan eksport minyak sawit Malaysia ke Turki dengan jumlah 703 588 tan pada tahun 2021 dan komitmen Arab Saudi untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia kepada 500 000 tan dengan nilai dianggarkan mencecah RM1.5 bilion pada tahun ini.

Beberapa Memorandum Persefahaman ditandatangani dengan beberapa buah syarikat, satu daripadanya Savola Group yang merupakan pengimport dan pengedar minyak makan terbesar di Arab Saudi. Bahkan, KPPK turut menjalinkan tiga bidang kerjasama, termasuklah pembinaan terminal penyimpanan tangki di Jeddah, menjadikan Arab Saudi sebagai hab eksport semula minyak sawit Malaysia dan kempen bersama untuk mempromosikan kebaikan minyak sawit Malaysia ke negara berkenaan dan dunia.

KPPK akan terus bekerja keras bagi memastikan kepentingan jangka panjang industri minyak sawit terjaga dan seterusnya membantu pekebun kecil kelapa sawit dan pihak berkepentingan lain walaupun pada ketika ini terdapat sekatan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit Malaysia.

Sekali lagi, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama dengan KPPK dalam usaha menangani propaganda anti-minyak sawit oleh negara-negara Barat yang dengan jelas bertujuan untuk menjatuhkan industri minyak sawit negara. Kita perlu memastikan industri sawit negara akan terus menjadi antara penyumbang terbesar ekonomi negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.