Oleh Ritah Yahaya
4 Februari 2022, 13:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil maklum isu kekurangan bekalan telur ayam yang berlaku ketika ini yang dilaporkan oleh media dan orang ramai di media sosial.

Kementerian telah mengambil tindakan awal yang perlu bagi mengenal pasti punca yang berlaku dan mencari mekanisme terbaik bagi mengatasi isu kekurangan bekalan telur ayam ini. Rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 30 juta biji telur ayam sehari atau 930 juta sebulan di seluruh negara. Berdasarkan data pengeluaran telur ayam dari 50 syarikat telur ayam yang mewakili 80% pengeluaran telur ayam di Malaysia, sebanyak

839 281 658 biji telur ayam dikeluarkan pada bulan Disember 2021. Unjuran pengeluaran telur ayam bagi bulan Januari 2022 pula adalah sebanyak

839 882 296 biji telur ayam. Hingga 3 Februari 2022, sebanyak 91% ketersediaan bekalan telur ayam dalam pasaran negara direkodkan berdasarkan pemantauan yang dilakukan. Peratusan ini menunjukkan bahawa bekalan telur ayam adalah stabil dan mampu untuk memenuhi permintaan semasa pengguna Malaysia. Namun, berlaku peningkatan permintaan dan pembelian telur ayam yang mendadak sebelum, semasa dan selepas cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini yang menyumbang kepada gangguan ke atas bekalan telur ayam kini. Di samping itu, terdapat ladang ternakan ayam dan telur ayam serta syarikat logistik penghantaran tidak beroperasi sepanjang cuti CNY, malah ada yang cuti lebih lama daripada dua hari cuti umum Tahun Baharu Cina. Semua hal ini menyumbang kepada kelewatan dalam pembekalan telur dari ladang kepada pemborong dan peruncit di beberapa buah tempat seperti di Terengganu, Negeri Sembilan, Perlis, dan Sarawak.

Penguat Kuasa KPDNHEP sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan setiap hari tentang kedudukan bekalan barangan keperluan utama di setiap rantaian pengedaran, iaitu pada peringkat pengilang, pemborong dan peruncit. Di samping ayam dan telur barang-barang lain yang turut dipantau, termasuklah gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayuran, telur ayam, dan bawang.

KPDNHEP yakin bahawa bekalan telur akan kembali stabil dan keberadaannya akan meluasdi semua lokaliti di Malaysia apabila ladang pengeluar telur ayam dan syarikat logistik penghantaran beroperasi semula tidak lama lagi. KPDNHEP mengarahkan para peruncit untuk memperbaharu stok yang ada di premis masing-masing dan menghubungi  pemborong dan pengeluar jika stok mereka jatuh ke had pesanan semula (reorder limit).

Maklumat awal juga diperoleh daripada beberapa buah syarikat pengeluar dan pemborong telur ayam dalam negara yang menyatakan bahawa kekurangan bekalan telur ayam berpunca daripada peningkatan kos yang tinggi terhadap pengeluaran telur ayam ketika ini. Selain itu, bekalan pada peringkat pemborong juga berkurangan kerana dianggarkan sebanyak 50 buah ladang kecil dan sederhana ditutup disebabkan syarikat tidak mampu lagi menanggung kos operasi yang tinggi.

Kerajaan mengambil langkah intervensi dengan melaksanakan Penentuan Harga Maksimum dari 5 Februari 2022 hingga 5 Jun 2022. Sebanyak dua jenis barangan yang ditentukan harga maksimum tersenarai seperti ayam dan telur ayam (Gred A, B dan C). KPDNHEP yang bertanggungjawab memastikan bekalan dan harga telur ayam kekal stabil akan terus mengadakan sesi libat urus Bersama-sama pemain industri dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat bagi mengenal pasti punca dan mencari kaedah penyelesaian yang adil dan kondusif bagi memastikan isu kekurangan bekalan telur ayam ketika ini dapat di atasi segera.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.