Oleh Ritah Yahaya
21 Januari 2022, 10:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Alibaba Global Digital Talent (GDT) Global Challenge 2021 atau Cabaran Global 2021 GDT (Bakat Digital Global) Alibaba yang melabuhkan tirai baru-baru ini menyaksikan pasukan Malaysia mencipta kecemerlangan, dengan dua penyertaan disenarai pendek sebagai 10 Terbaik Global daripada lebih 2000 penyertaan. Secara keseluruhannya, sembilan buah pasukan dari Malaysia yang menyerlah dalam pusingan kebangsaan pertandingan berjaya memasuki pusingan akhir global, yang menampilkan 82 buah pasukan yang disenarai pendek dari seluruh dunia.

Cabaran Global merupakan pertandingan keusahawanan antarabangsa di bawah Program GDT Kumpulan Alibaba. Pertandingan tahun ini menekankan kuasa dan potensi jenama terus kepada pengguna dengan fokus untuk meletakkan digital pada barisan hadapan strategi jualan dan pemasaran.

Pasukan yang mengambil bahagian ditugaskan untuk membangunkan penyelesaian jualan dan pemasaran bagi para pengeluar terkenal yang disyorkan oleh Cabaran GDT Alibaba atau kategori produk berpotensi tinggi lain, dan menterjemahkan strategi mereka dalam amalan untuk mempertingkatkan pendedahan dan kuasa jenama produk sasaran mereka dalam pasaran antarabangsa.

Lebih daripada 2000 buah pasukan dari China, Columbia, Malaysia, Mongolia, Korea Selatan, Filipina, United Kingdom, dan Amerika Syarikat mengambil bahagian dalam cabaran pada tahun ini. Peserta mempunyai akses kepada latihan secara langsung yang diberi oleh pakar industri dan usahawan daripada Rangkaian GDT Alibaba untuk mempelajari pelbagai kemahiran penting dalam perjalanan memulakan sebuah perniagaan pada era digital.

Finalis 10 Terbaik Global dipilih berdasarkan lima kriteria umum, iaitu cerapan pengguna, inovasi, pelaksanaan perniagaan, kuasa pemasaran digital dan kuasa pelaksanaan pasukan “Pandemik COVID-19 membuktikan betapa perlunya perniagaan memberikan keutamaan kepada penjenamaan digital dan strategi pemasaran untuk memperluas jangkauan mereka kepada pengguna akhir. Inilah masa terbaik untuk membolehkan bakat masa depan kita mengaplikasikan kreativiti dan kebijaksanaan digital dalam persekitaran dunia sebenar bagi mewujudkan penyelesaian berdaya maju yang dapat memikat hati pengguna moden hari ini,” jelas James Song, Setiausaha Agung Pejabat Globalisasi Alibaba.

Dua buah pasukan Malaysia yang melayakkan diri dalam 10 Terbaik Global pada tahun ini ialah Pasukan Quadrifoglio daripada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Pasukan Young Boss daripada Sunway University. Bagi kejayaan penyertaan mereka, Pasukan Quadrifoglio mencipta penjenamaan digital lengkap dan kertas cadangan pemasaran bagi penyelesaian rumah pintar hidroponik melalui kerjasama dengan JTEC, iaitu pengeluar sistem hidroponik rumah pintar di Malaysia. Produk tersebut direka bentuk untuk menjadikan penanaman dalam rumah lebih selesa dan mudah diakses dengan pemantauan automasi masa benar dan sistem kawalan.

Projek mereka menyerlahkan kandungan digital yang dihasilkan secara keseluruhan oleh pasukan tersebut seperti hantaran blog, video jenama dan hantaran media sosial, yang bertujuan mempertingkatkan kesedaran bukan sahaja mengenai produk tetapi juga jenama dan manfaat gaya hidup yang mampan.

Sementara itu, menyedari potensi industri haiwan peliharaan yang pantas berkembang di Malaysia, Pasukan Young Boss memfokuskan penyelidikan mereka pada bidang ini dan membangunkan pengeluaran yang berkaitan dan strategi pemasaran bagi tilam haiwan peliharaan premium yang boleh diubahsuai, yang disasarkan kepada pemilik anjing dan kucing.

Mereka memanfaatkan hantaran media sosial untuk membina kesedaran jenama dan memperkenalkan ciri produk dalam kalangan pemilik haiwan peliharaan muda di Malaysia, yang mengutamakan ciri tahan lama dan harga mampu bayar.  “Menempatkan diri dalam kelompok finalis 10 Terbaik Global Cabaran Global GDT Alibaba merupakan pencapaian yang tidak pernah kami impikan. Daripada pembinaan aplikasi serta penghasilan jenama dan kandungan media sosial hinggalah berjaya terpilih untuk pusingan akhir global, kami telah mempelajari banyak iktibar yang berharga, bukan hanya dari segi kemahiran dan pengetahuan, tetapi juga dari segi kerja berpasukan dan daya tahan. Latihan, pembelajaran penting dan amalan terbaik yang disediakan oleh pasukan GDT Alibaba dan juga bimbingan daripada penasihat kami di UTAR ternyata sangat membantu dalam memastikan kami berada pada landasan yang tepat,” jelas Pasukan Quadrifoglio.

“Perjalanan yang dilalui sungguh memberangsangkan bagi kami yang mengambil bahagian dalam Cabaran Global GDT Alibaba tahun ini. Iktibar dan pembelajaran penting yang telah kami raih dalam proses ini adalah amat bermakna. Daripada penyelidikan kami, kami dapat memerhatikan trend kemanusiaan dan premium haiwan peliharaan yang berkembang, yang semakin meningkat ketika pandemik terutamanya dalam kalangan generasi milenium yang lebih bersedia untuk berbelanja terhadap haiwan peliharaan berbulu mereka. Hal ini mendorong kami menyedari potensi besar dalam pasaran tilam haiwan peliharaan yang masih belum diteroka sepenuhnya,” ujar Pasukan Young Boss.

UTAR juga memasukkan pasukan kedua, RT4, yang memenangi tempat ketiga dalam pusingan kebangsaan. RT4 telah menghantar kertas cadangan mereka mengenai tapak kasut ortotik tersuai. Produk penjagaan keselesaan, yang bertujuan menyediakan pelapik dalam kasut pada harga mampu milik dengan memanfaatkan reka bentuk 3D dan teknologi percetakan.

Program GDT Alibaba (dahulunya “Program GET Alibaba”) diperkenalkan pada tahun 2016 dengan misi menggalakkan transformasi digital dan pembangunan inklusif melalui inkubasi bakat digital. Melalui rangkaian latihan globalnya, Program tersebut hingga kini memberikan manfaat kepada 80 rakan kongsi pendidikan dan melatih lebih 1000 orang pensyarah dan lebih 20 000 orang pelajar serta peserta lain dari Columbia, Mexico, Mongolia, Malaysia, negara Thai, Indonesia, Filipina, Rwanda, Singapura, dan China.

Program GDT Alibaba di Malaysia bekerjasama dengan INTI University, HELP University, Sunway University, dan UTAR untuk “mengeram” bakat digital tempatan. Hingga kini, lebih daripada 3000 orang pelajar tempatan mempelajari konsep ekonomi digital dan meneroka peluang dalam ekonomi digital melalui Program tersebut.

Program GDT Alibaba merupakan sebahagian daripada misi Alibaba untuk memudahkan perniagaan di mana-mana sahaja. Dengan memanfaatkan sumber dan amalan terbaik daripada Ekosistem Alibaba di seluruh dunia, inisiatif ini menyasarkan perkongsian impak positif daripada paradigma perniagaan baharu ekonomi digital dan menggalakkan pembangunan inklusif untuk merangsang dan memperkasakan belia secara global. Rangkaian GDT Alibaba terbuka kepada universiti dan institusi pendidikan yang berhasrat menggabungkan kurikulum ekonomi digital dalam sistem pendidikan dan latihan serta membangunkan usahawan muda dan bakat digital.

Untuk maklumat lanjut mengenai Rangkaian GDT Alibaba, sila layari https://get.alibaba.com/

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.