19 Januari 2022, 12:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kemajuan aplikasi teknologi kewangan (fintech) dalam pasaran modal dilihat sebagai antara pemangkin kepada usaha transformasi negara untuk menjadi peneraju ekonomi digital di rantau ini. Sebagai badan berkanun yang mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memastikan potensi fintech ini digunakan secara optimum.

Di dekad sebelum ini, pasaran modal lazimnya hanya dikaitkan dengan syarikat-syarikat besar yang juga memerlukan jumlah dana yang besar. Manakala, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dilihat lebih sinonim dengan cara pembiayaan tradisional untuk mendapat bantuan dana perniagaan. Antaranya, melalui pinjaman bank atau pun menerusi agensi-agensi tertentu yang menawarkan skim pembiayaan mikro, seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan TEKUN Nasional.

Walau bagaimanapun, kita sering mendengar keluhan para usahawan PMKS  tentang kesukaran mereka untuk mendapatkan pembiayaan, terutamanya daripada pihak bank. Antara faktor yang dikatakan menjadi punca kegagalan mendapatkan pinjaman bank adalah isu dokumentasi yang tidak lengkap, aliran tunai yang tidak menepati piawaian bank, serta kekangan aset sebagai cagaran. Susulan itu, kebangkitan fintech yang lebih fleksibel dalam penawaran pembiayaan ini dilihat dapat membina ekosistem pasaran modal yang lebih menyeluruh, yang mana turut melibatkan keterangkuman kewangan bagi sektor PMKS.

Tambahan pula, ekonomi PMKS kini sangat terjejas kesan daripada pandemik Covid-19 yang telah melanda dunia. Impak ini tidak boleh dipandang ringan kerana walaupun bersaiz mikro, kecil dan sederhana, sektor PMKS merupakan tulang belakang ekonomi negara kerana  mewakili 97.2% daripada jumlah pertubuhan perniagaan di Malaysia pada tahun 2020. Maka, kesuraman ekonomi PMKS akan pastinya memberi impak yang signifikan kepada ekonomi negara secara amnya. Malahan, buat pertama kalinya pada tahun 2020, keluaran dalam negara kasar (KDNK) PMKS mencatatkan angka yang lebih rendah berbanding KDNK negara – menunjukkan bahawa betapa terjejasnya sektor PMKS ekoran pandemik baru-baru ini.

Sehubungan itu, aplikasi fintech dilihat sebagai berpotensi untuk membantu memulihkan sektor PMKS. Ini terbukti apabila platform pendanaan ramai berasaskan ekuiti (equity crowdfunding, ECF) serta pembiayaan antara rakan setara (peer-to-peer financing, P2P) begitu rancak menyokong PMKS dalam keperluan pembiayaan mereka sepanjang tempoh pandemik. Suruhanjaya Sekuriti Malaysia  memaklumkan bahawa platform-platform fintech yang berasaskan konsep ECF dan P2P ini telah berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM625 juta hanya dalam masa enam bulan pertama tahun 2021 – di mana terdapat peningkatan sebanyak 151% dan 220% berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun sebelumnya, masing-masing bagi ECF dan P2P. Sehingga September 2021, platform ECF dan P2P masing-masing telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM352.11 juta dan RM1.94 bilion secara kumulatif sejak beroperasi.

Dengan ini, jelas bahawa plaftorm fintech tidak sepatutnya dianggap sebagai pengganggu (disruptor) kepada perbankan tradisional. Sebaliknya, ia harus dilihat sebagai alternatif pembiayaan yang menjadi pelengkap ekosistem pasaran modal bagi memenuhi keperluan modal yang lebih inklusif. Setakat ini, terdapat 10 platform ECF dan 11 platform P2P yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Para usahawan PMKS kini mempunyai opsyen yang lebih luas bagi mendapatkan pembiayaan bagi modal perniagaan, malahan aplikasi fintech seumpama ini juga dipercayai mampu menawarkan perkhidmatan yang lebih kos efektif kepada pengguna.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!