12 Januari 2022, 16:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Cukai pendapatan individu merupakan salah satu instrumen penting dalam pembangunan negara kerana kerajaan akan menggunakannya untuk membiayai  projek pembangunan dan meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan rakyat. Namun,  bagaimana cukai pendapatan seseorang individu yang telah meninggal dunia diuruskan oleh HASiL? Adakah ia akan tetap dikutip atau dihapus kira sahaja? Sekiranya seseorang itu telah meninggal dunia maka para pewarisnya akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang komitmen kewangan si mati termasuklah pengurusan cukai si mati  berdasarkan Seksyen 74 di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Merujuk kepada seksyen ini, waris si mati boleh dikenakan taksiran seperti mana taksiran dikenakan atas si mati. Oleh yang demikian,  pihak waris atau wasi haruslah cakna akan sebarang tunggakan atau lebihan cukai yang ada pada si mati. Pengetahuan pengurusan cukai si mati ini perlu difahami serta diuruskan dengan sebaiknya bagi memudahkan sebarang urusan kewangan si mati. Bagi individu yang sudah meninggal dunia, taksiran cukai akan dibuat untuk pendapatan yang diterima sehingga tarikh kematian individu tersebut dan taksiran ini akan dibuat atas nama waris yang sah.

Justeru, apa-apa pendapatan yang diperoleh selepas tarikh kematian tidak akan dianggap pendapatan si mati. Semua pendapatan selepas tarikh kematian akan dianggap sebagai pendapatan harta pusaka individu si mati dan ditaksir atas nama waris sah atau pentadbir harta pusaka. Satu fail baharu akan didaftarkan untuk tujuan menaksir pendapatan harta pusaka si mati. Kadar cukai yang dikenakan terhadap pentadbir harta pusaka atau waris yang sah pula sama dengan kadar cukai yang dikenakan atas seseorang individu. Bagi memudahkan urusan pelaporan pendapatan si mati, waris atau pentadbir harta pusaka wajib melaporkan pendapatan harta pusaka si mati di bawah pentadbirannya dengan menggunakan Borang Nyata Cukai Pendapatan untuk harta pusaka iaitu Borang TP.

Apa yang akan berlaku sekiranya si mati mempunyai cukai tertunggak?

Cukai tertunggak wujud apabila baki cukai yang dikenakan gagal dibayar oleh pembayar cukai dalam tahun semasa sehingga melangkau ke tahun taksiran berikutnya. Dalam hal ini, cukai tertunggak wujud apabila si mati tidak melunaskan baki cukai beliau ketika hidupnya. Sekiranya keadaan ini berlaku, waris atau pentadbir harta pusaka si mati perlu bertanggungjawab untuk menyelesaikan tunggakan tersebut daripada harta pusaka si mati. Sebagai makluman, kuasa menuntut cukai tertunggak si mati daripada waris atau pentadbir harta pusaka telah diperuntukkan di bawah Seksyen 74 dan Seksyen 106 di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Sekiranya si mati masih lagi mempunyai cukai tertunggak, pihak HASiL boleh memungutnya daripada waris atau pentadbir harta pusaka si mati bagi tujuan kutipan cukai kepada kerajaan. Walau bagaimanapun, HASiL amat terbuka bagi sebarang proses rundingan jika waris atau pentadbir harta pusaka si mati tidak mampu untuk menyelesaikan baki cukai tersebut secara sekali gus. Mereka boleh memohon aturan bayaran secara ansuran tertakluk kepada kuasa budi bicara HASiL.

Bolehkah waris menuntut lebihan cukai yang telah dibayar oleh si mati?

Persoalan ini juga banyak ditimbulkan oleh waris kerana sememangnya terdapat kes si mati telah membayar cukai lebih tinggi berbanding amaun cukai yang dikenakan terhadapnya. Sehubungan dengan itu, bagi waris yang menghadapi situasi ini, mereka boleh membuat tuntutan secara rasmi dengan pihak HASiL amaun lebihan kredit atau cukai terlebih bayar tersebut. Bagi memudahkan HASiL memproses permohonan ini, waris perlu mengemukakan beberapa dokumen penting yang berkaitan antaranya sijil kematian si mati dan salinan Surat Kuasa Mentadbir atau Geran Probet (Grant of Probate) yang diakui sah sama ada oleh Pesuruhjaya Sumpah, Majistret Mahkamah atau kakitangan kerajaan dalam kategori pengurusan dan profesional. Senarai lengkap dokumen yang perlu dikemukakan boleh diperolehi dengan merujuk Rangka Kerja Pungutan Cukai di portal rasmi HASiL di www.hasil.gov.my . Jika terdapat lebih dari satu pentadbir harta pusaka, bayaran balik akan dilakukan atas nama salah satu pentadbir sahaja.

Kesimpulannya, seseorang pembayar cukai yang meninggal dunia tetap mempunyai tanggungjawab untuk menjelaskan sebarang cukai tertunggak yang ada kerana dianggap sebagai hutang kepada Kerajaan. Pihak waris atau pentadbir harta pusaka si mati perlu melaksanakan tanggungjawab tersebut bagi pihak si mati. Sehubungan dengan itu, setiap waris disyorkan agar membuat semakan terlebih dahulu kedudukan cukai si mati dengan pihak HASiL bagi memastikan semua cukai si mati telah dilunaskan sekali gus menjamin kelancaran urusan pembahagian harta pusaka si mati dan sebarang tuntutan wajib yang lain.

 

 

 

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi