3 Januari 2022, 11:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Seluruh negeri di negara ini memerlukan masyarakat yang proaktif, kreatif, inovatif, kompetitif dan berpandangan jauh untuk terus bersama-sama membangunkan Malaysia. Dalam menjayakan hasrat itu, budaya bekerja dalam organisasi dan gaya hidup masyarakat perlu dilonjakkan bagi memastikan negara kekal kompetitif dan berdaya saing melalui corak pemikiran yang lebih kreatif, inovatif dan di luar daripada kebiasaan.

Lebih penting, pembentukan masyarakat yang proaktif dan berfikiran keusahawanan merupakan asas untuk menjadikan negara kita sebagai sebuah negara keusahawanan unggul, maju dan disegani pada peringkat global.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas baginda berkenan berangkat pada pagi ini untuk merasmikan gerai menjual roti jala dan murtabak Projek Peningkatan Sosioekonomi Asnaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diusahakan oleh Puan Wamala Hassan, berusia 64 tahun, dengan dibantu oleh dua orang anaknya, di gerai bernombor 13A Jalan Sekolah Derma. Dalam majlis tersebut, beliau turut menerima sumbangan berbentuk peralatan daripada pihak MAIPs untuk membantu perniagaannya agar dapat terus berkembang pada masa akan datang.

Tambah Raja Muda Perlis, masyarakat di negara ini  disarankan untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara. Oleh itu, masyarakat perlu mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi yang inklusif, seimbang dan mapan. Hal ini sekali gus dapat membentuk sebuah masyarakat yang inovatif dan berbudaya keusahawanan terutamanya dalam kalangan generasi muda. Baginda juga meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat lebih ramai usahawan yang berkualiti, berdaya maju, berfikiran global dan kompetitif dalam kalangan generasi muda di Perlis. Tambah baginda lagi:

Pihak kerajaan dan masyarakat perlu berganding bahu dan  berusaha untuk meningkatkan keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta koperasi selain memberikan dorongan kepada generasi muda untuk memilih keusahawanan sebagai kerjaya pilihan mereka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.