27 Disember 2021, 08:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Pada masa ini, ramai golongan wanita cuba mengubah dan memperbaiki taraf kehidupan keluarga masing-masing dengan menceburi bidang perniagaan. Golongan usahawan wanita kini menjadi sumber inspirasi untuk golongan wanita yang lain untuk bergelar usahawan. Mereka menjadi perangsang kepada wanita lain untuk menjana pendapatan, selain membentuk jati diri wanita yang mantap serta menjamin kehidupan wanita dengan adanya wang saku sendiri.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat merasmikan perniagaan makanan dan minuman “Selera Mak Lang Nasi Campur” yang beroperasi di perkarangan Masjid Al-Barakah Kg Jelempok Arau yang diusahakan oleh Basah Mat Ali, 63 tahun sempena program “MAIPs Peduli” baru-baru ini.

Basah pernah menerima sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui inisiatif Projek Peningkatan Sosioekonomi Asnaf MAIPs. Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, kepesatan teknologi pada masa ini telah membuka banyak ruang dan kesedaran yang akhirnya menarik minat wanita untuk menceburkan diri dalam perniagaan seperti secara dalam talian bermula dengan menjadi agen produk, kemudian menyertai pelbagai program oleh kerajaan bagi menambah ilmu perniagaan. Wanita kini semakin “berani” tampil memajukan lagi perniagaan tanpa mengabaikan tugas hakiki sebagai ibu dan isteri.

Tambah Tuanku Raja Muda lagi, golongan wanita boleh meningkatkan pendapatan mereka secara tidak langsung melalui aktiviti perniagaan. Islam sememangnya memandang tinggi darjat wanita sehingga terdapat satu surah khusus dalam al-Quran yang menceritakan perihal golongan ini. Saidatina Khadijah, seorang usahawan wanita yang berjaya menambat hati Rasulullah SAW telah menjadi inspirasi dan bukti bahawa golongan hawa juga mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum Adam, khususnya dalam bidang perniagaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.