20 Disember 2021, 11:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kumpulan Alibaba hari ini menyempurnakan Hari Pelabur 2021 yang dianjurkan secara maya.  Daniel Zhang, Pengerusi dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Alibaba, mengulangi kenyataan berkaitan dengan tumpuan syarikat terhadap tiga jentera strategik utamanya, iaitu penggunaan China, globalisasi dan teknologi untuk memacu pertumbuhan masa depan.

“Visi kami untuk masa depan kekal tidak berubah. Kami percaya bahawa kami sedang berada dalam waktu pertumbuhan yang terbaik, pada era digital hari ini, untuk merebut peluang masa depan dengan keupayaan digital dan teknologi yang telah kami bina sejak bertahun-tahun,” kata Zhang pada acara pelabur tersebut.

Melabur untuk Pertumbuhan Jangka Panjang, Ketelusan Lebih Tinggi

Ketua Pegawai Kewangan, Kumpulan Alibaba, Maggie Wu berkongsi tentang strategi pelbagai jentera syarikat yang menyumbang kepada aliran hasil yang lebih pelbagai.

“Kami sentiasa memberikan tumpuan pada usaha melakukan inovasi dan melabur untuk jangka panjang. Sejak kebelakangan ini, kami telah mewujudkan banyak perniagaan yang kukuh dan menguntungkan, seperti Taobao, Tmall dan Alibaba Cloud. Demikian juga, kami telah melabur dalam perniagaan baharu dan pantas berkembang yang berpotensi dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” jelas Wu.

Tatkala syarikat terus membina pendekatan pelbagai jentera untuk memacu pertumbuhan masa depan, Wu menyatakan bahawa syarikat akan menyediakan laporan kewangan lebih terperinci bagi segmen perdagangan terasnya, sekali gus mencerminkan bagaimana ia mengurus semua perniagaan ini.

“Kami sentiasa percaya terhadap tindakan menyediakan lebih ketelusan dalam pelaporan dan penzahiran kami untuk membolehkan para pemegang saham memahami dengan lebih baik prestasi perniagaan dan kewangan kami,” tambah Wu. Segmen Perdagangan akan dibahagikan lagi kepada empat segmen: Perdagangan China, Perdagangan Antarabangsa, Khidmat Pengguna Tempatan dan Cainiao.

Timbalan Ketua Pegawai Kewangan, Toby Xu bercakap tentang strategi pelaburan Alibaba, yang menentukan keutamaan menerusi sebuah rangka kerja pertumbuhan – daripada benih kepada tarikan hinggalah peringkat keuntungan. Wu dan Xu menyampaikan pembentangan, yang menunjukkan peralihan yang lancar tentang peranan Ketua Pegawai Kewangan syarikat yang akan berkuat kuasa pada bulan April.

“Kami kekal sangat komited terhadap pelaburan untuk masa depan, dan kami akan melaksanakannya dengan tahap disiplin yang tinggi. Pelaburan kami akan memberikan tumpuan pada pembinaan keupayaan dan penciptaan nilai. Pada masa lalu, kami telah banyak kali menghadapi dan mengatasi cabaran besar. Pada hari ini, kami tetap yakin bahawa kami akan berjaya dalam menjana pertumbuhan yang mampan dan tahan lama dengan mengambil perspektif jangka panjang ketika menangani isu-isu semasa secara pragmatik,” ujar Xu.

Ikrar Keneutralan Karbon

Alibaba juga mengumumkan ikrarnya untuk mencapai keneutralan karbon pada tahun 2030 dan menerbitkan Laporan Tindakan Keneutralan Karbon Alibaba yang pertama. Alibaba akan bekerjasama dengan peniaga dan pengguna untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 1.5 gigaton di seluruh ekosistemnya menjelang tahun 2035. Untuk mencapai sasaran yang tinggi ini, Alibababa berusaha melebihi amalan industri standardnya yang hanya mengurangkan jejak karbon operasinya dan memperkenalkan  dimensi baharu kepada tanggungjawabnya yang dipanggil  “Skope 3+”.

 

Alibaba berikrar untuk memanfaatkan teknologi dan peranannya sebagai sebuah platform untuk menggembleng tindakan dalam kalangan pengguna, peniaga dan rakan kongsinya untuk membina masa depan yang lebih lestari.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.