Oleh Ritah Yahaya
20 Disember 2021, 12:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Transaksi jual beli telah lama kita amalkan sama ada melalui pertukaran mata wang atau pertukaran barangan. Segenap lapisan masyarakat akan terdedah dengan transaksi jual beli sama ada peniaga, usahawan mahupun pembeli atau pengguna. Sewajarnya kita memahami dan peka terhadap akad (kontrak) jual beli asas. Apabila isu “Ikan Siakap Pulau Langkawi” tular, kisah tersebut membuktikan bahawa masyarakat kita sebenarnya tidak arif dengan rukun jual beli. Apabila rukun jual beli tidak dipenuhi, maka  pertelingkahan dan ketidakpuasan hati antara pihak yang berakad akan wujud. Sewajarnya, kita wajib memahami dan peka dengan konsep dan rukun jual beli. Hal ini demikian kerana hampir setiap hari atau setiap minggu kita akan terlibat dengan jual beli!

Rukun Jual beli Sebagai Asas Transaksi

Kita sedia maklum, jual beli merupakan satu akad. Setiap kontrak sudah tentu mempunyai rukun-rukun tersendiri supaya kontrak ini wujud. Rukun-rukun ini pula sudah tentu mempunyai syarat-syarat tersendiri supaya ia diterima sebagai sah dan seterusnya memberikan implikasi tertentu iaitu beberapa hukum yang ditetapkan oleh Allah Taala. Rukun jual beli yang terdiri dari penjual/pembeli (‘aqidan), sighah (ijab dan qabul) dan maqudalai (barang dan harga).

Rukun pertama: Penjual dan Pembeli

Urusan jual beli perlu dilakukan oleh seseorang yang waras (baligh, berakal dan boleh menguruskan harta dengan baik). Oleh itu transaksi daripada kanak-kanak dan orang gila adalah tidak sah. Penjual dan pembeli juga perlu bersetuju dengan transaksi tanpa paksaan.

Rukun kedua: Sighah

Sighah adalah kaedah menunjukkan kerelaan penawaran barang dari penjual (ijab) dan kesediaan pembeli untuk menerima barang yang hendak dibeli (qabul). Sighah ditunjukkan melalui tindakan kedua-dua pihak menunjukkan mereka bersetuju dalam urusan jual beli tersebut. Persetujuan dan kerelaan adalah syarat sah kontrak jual beli sebagaimana dinyatakan sebelum ini. Terdapat dua bentuk sihgah, iaitu secara sorih (jelas) dengan lafaz seperti penjual menyebut: “Saya jual ye” dan pembeli menjawab: “Saya beli” atau secara kinayah dengan isyarat atau hulur menghulur.

Rukun ketiga: Barang dan Harga

Dalam kontrak jual beli, subjek kontrak merujuk kepada barangan yang dijual dan harga. Kedua-dua perkara ini perlu memenuhi beberapa syarat. Barang yang hendak dijual beli itu perlu wujud semasa kontrak, bernilai, bermanfaat menurut syarak, boleh diserahkan dan dalam pengetahuan kedua pihak. Ini bererti barang yang tidak wujud semasa akad seperti anak kambing dalam perut, yang haram seperti babi dan arak dan barang yang tidak dimaklumi dengan jelas spesifikasi barang dan harga antara kedua-dua belah pihak tidak sah dijual beli.

Khiyar yang dipinggirkan

Keharmonian muamalat dalam Islam bukan sekadar dalam rukun jual beli semata. Terdapat khiyar atau pilihan dalam menyempurnakan akad jual beli dalam Islam. Ini menunjukkan syariat Islam masih memberikan ruang untuk pihak yang berkontrak kerana terdapat kemungkinan sesuatu kontrak itu dilakukan secara gopoh tanpa membuat penelitian mendalam. Tujuan utama kyiar memastikan adanya kerelaan hati kedua pihak untuk menerus atau membatalkan akad dan menjaga kepentingan pihak-pihak yang berakad. Secara umumnya ulama telah membahagikan khiyar ini kepada 3 jenis utama, iaitu Khiyar al-Majlis, Khiyar al-Syarat dan Khiyar al-Aib.

Khiyar al-majlis merujuk kepada hak pilihan ketika dalam majlis. Ini dimaksudkan dengan hak bagi kedua belah pihak, antara penjual dengan pembeli untuk melangsungkan jual beli atau membatalkannya selama masih berada di tempat (majlis) jual beli itu. Manakala khiyar syarat merupakan suatu pilihan yang telah ditetapkan syarat dalam sesuatu kontrak. Ia memberikan hak kepada salah satu, atau kedua-duanya atau kepada pihak ketiga untuk mengesahkan atau membatalkan sesuatu kontrak dalam sesuatu tempoh masa. Selain itu, khiyar aib ialah hak untuk membatalkan atau meneruskan jual beli barang yang mengalami kecacatan atau kerosakan, maka penjual berhak mengembalikan wang yang diberi oleh pembeli tersebut. Dalam jual beli, Islam mensyaratkan kesempurnaan dalam amalan perniagaan dan melarang berjual beli dengan amalan yang salah yakni batil. Para fuqaha menitikberatkan keharusan khiyar aib ini bagi memastikan keselamatan sesuatu barangan yang menjadi subjek kontrak daripada sebarang kecacatan.

Isu Jual beli Dalam Talian

Jual beli dalam talian terdedah kepada penipuan terutama berkaitan penjualan produk yang tidak wujud atau menipu dalam promosi. Berdasarkan maklumat terkini didedahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, sebanyak 5848 kes penipuan e-dagang dilaporkan sepanjang tahun lalu di seluruh negara membabitkan kerugian kepada mangsa lebih RM41 juta. Jumlah kes jenayah ini meningkat hampir 80% berbanding 3511 kes direkodkan sepanjang tahun 2019 dengan kerugian sebanyak RM28 juta.

Bagi mengelakkan penipu (scammers) dan memastikan jual beli dalam talian sah serta mendapat barakah, perlu dipastikan syarat-syarat asas jual beli dipatuhi:

  • Jenis barangan yang jelas dan spesifik.
  • Harga yang dimaklumi tanpa ada caj yang terselindung.
  • Wujudkan petanda reda antara dua pihak, iaitu penjual dengan pembeli sama ada menerusi lafaz atau tulisan atau butang dalam talian yang menunjukkan persetujuan (sighah).
  • Wujudkan qabdh sebagai bukti serahan milik sama ada bersifat haqiqi atau  Resit atau apa sahaja slip bukti jual beli, termasuklah dalam qabdh majazi dengan syarat jelas maklumat yang lengkap.
  • Jika wujud sebarang caj tambahan seperti upah atas faktor penghantaran maka mesti dimaklumkan secara jelas dan penuh agar tidak berlaku penipuan dan kekeliruan.
  • Tawar menawar diharuskan dalam Islam untuk capai kata sepakat, tetapi dilarang menipu.
  • Kontrak atau akad jualan yang telah dimeterai adalah akad lazim, tidak boleh sebelah pihak membatalkan begitu sahaja demi keuntungan lebih dan mementingkan diri sendiri.
  • Penyebab  kerugian atas kecuaian atau khianat wajib bertanggungjawab.
  • Khiyar dipraktikkan sekiranya terdapat kecacatan, kerosakan atau ketidakpuasan hati di pihak pelanggan.

Isu Jual beli “Ikan Siakap Pulau Langkawi”

Faktor utama berlaku perkelahian atau ketidakpuasan hati antara pembeli dengan penjual adalah disebabkan ketidakpatuhan rukun akad jual beli. Ketidakpatuhan sighah (kaedah persetujuan tawar dan penerimaan barang) atau ketidakpatuhan syarat ma’qud alaih (ketidakjelasan spesifikasi barang dan harga jualan) biasa berlaku dalam transaksi harian masyarakat kita.

Penjual dan pembeli (‘akidan) dalam majlis akad sepatutnya jelas tentang spesifikasi barang yang dipilih untuk dibeli sekiranya pembelian barang berdasarkan katalog harga. Ini kerana harga dan gambar (barang) yang dimasukkan dalam katalog mungkin berbeza saiz dan berat dengan barang yang dipilih pembeli.

Dalam kes pembelian ikan pelihara di restoran sebagaimana kes ikan siakap tersebut sepatutnya pihak pembeli jelas tentang pilihan ikan, saiz dan berat berserta dengan harga. Penjual juga perlu menjelaskan harga bagi ikan yang telah dipilih. Persetujuan bersama (sighah) antara penjual dengan pembeli disepakati dalam membuat akad. Keadaan ini tidak boleh dipandang ringan kerana sighah adalah salah satu rukun dalam jual beli. Di samping itu,  pembeli atau pelanggan masih mempunyai hak khiyar sekiranya mendapati ikan tersebut tidak seperti yang diminta sama ada jenis, saiz atau menu masakan. Keadaan ini mungkin berlaku disebabkan tertukar hidangan dengan pelanggan lain atau tersilap semasa memasak. Justeru itu, pelanggan berhak untuk tidak meneruskan akad atau meminta tukar kepada ikan yang sepatutnya.

Jiwa tenang hidup berkat

Penjualan produk haram, penipuan jual beli, promosi yang tidak jujur, scammers dan ketidakpuasan pelanggan adalah antara masalah biasa yang dihadapi dalam masyarakat kita. Kefahaman konsep jual beli dan istiqamah dalam pegangan rukun dan syarat jual beli boleh mengelakkan perkara-perkara tersebut berleluasa.

Penjual dan pembeli merupakan pemain utama dalam memastikan akad ini termeterai dengan sempurna dan harmoni. Kita juga akan sentiasa berhati-hati dalam setiap transaksi yang kita jalankan dan ini sekali gus boleh mengelakkan perkelahian antara penjual dengan pembeli serta boleh menyelamatkan diri dari terperangkap dengan penipu (scammers).

Firman Allah SWT:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰ⁠لَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ إِلَّاۤ أَن تَكُونَ تِجَـٰرَةً عَن تَرَاضࣲ مِّنكُمۡۚ

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka antara kamu.”

(AnNisa’ 4: 29)

 

Profesor Madya Dr. Salmy Edawati Yaacob ialah pensyarah di Pusat Fiqh Kontemporari dan Pematuhan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.