30 November 2021, 11:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Beseri – Lebih ramai petani tempatan diharapkan dapat mengusahakan tanaman komersial secara kecil-kecilan sebagai punca pendapatan utama. Mereka perlu diberikan pendedahan secukupnya tentang kaedah dan teknik pertanian secara moden untuk menjamin hasil dan pendapatan yang munasabah. Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenaan berangkat melawat cendawan kukur di Beseri bersempena dengan program MAIPs Peduli.

Baginda tidak melepaskan peluang untuk merasai sendiri pengalaman memetik cendawan selepas dipersembahkan taklimat tentang teknik tisu kultur untuk penghasilan benih cendawan pelbagai spesies oleh pengusahanya, Encik Mohd Amin Zainal Abidin dan isterinya, Puan Siti Aminah Mohd Hassan. Encik Mohd Amin berkata keberangkatan Tuanku Raja Muda yang prihatin dengan pembangunan negeri telah memberikan insprirasi kepada rakyat untuk menceburi industri penanaman cendawan. Menurut beliau, sejak memulakan operasi secara kecil-kecilan sejak tahun 2018, mereka telah berjaya menghasilkan lapan jenis benih cendawan lain, iaitu Tiram Kelabu, Tiram Putih, Tiram Sado, Tiram Pink, Tiram Kuning, Telinga Kera (Black Jelly), Melati dan Ganoderma.

Pada tahun 2020, mereka telah mendapat “Bantuan Ekonomi Tambahan” (AET) daripada pihak RISDA, Perlis. Antara produk lain yang dihasilkan ialah cendawan segar, kit DIY cendawan, benih cendawan, bongkah cendawan matang, kursus kultur tisu, penghasilan benih cendawan, kursus penanaman cendawan pelbagai spesies, peralatan penanaman cendawan dan khidmat konsultansi. Pengarah RISDA Perlis, Encik Nor Afzami Isa turut hadir memeriahkan majlis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.