Oleh Ad Aman
12 November 2021, 19:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Imbangan Akaun Semasa Malaysia (CAB) pada suku tahun ketiga 2021 merekodkan lebihan RM11.6 bilion berbanding dengan  RM14.4 bilion pada suku sebelumnya.

Memetik laporan Statistik Imbangan Pembayaran dan Kedudukan Pelaburan Antarabangsa Suku Tahun Ketiga 2021, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin mengatakan bahawa sebahagian besar lebihan CAB masih disokong oleh eksport bersih yang lebih tinggi dalam akaun Barangan, yakni sebanyak RM41.2 bilion berbanding dengan RM40.7 bilion pada suku sebelumnya.

Tambah Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir, berbanding dengan suku tahun kedua 2021, eksport barangan dilihat menurun pada kadar yang lebih perlahan berbanding dengan import. Hal ini secara tidak langsung menyumbangkan kepada eksport bersih yang lebih tinggi pada suku tahun ini.

Eksport merosot 3.1 peratus suku ke suku kepada RM236.6 bilion, terutamanya dalam produk berasaskan Elektrik dan Elektronik (E&E), Kimia dan Petroleum dengan sebahagian besarnya ke China, Singapura dan Amerika Syarikat (AS).

“Begitu juga, import barangan menurun sebanyak 3.9 peratus dari suku ke suku dengan RM195.4 bilion berbanding suku sebelumnya. Hal ini dapat diperhatikan melalui trend menurun bagi import Barangan Perantaraan, Modal dan Penggunaan terutamanya dari China dan Jepun pada suku tahun ini.

Laporan terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia itu turut memaklumkan bahawa lebihan akaun semasa yang mengecil pada suku kali ini disebabkan oleh defisit yang lebih tinggi dalam akaun pendapatan dengan Akaun Pendapatan primer mencatatkan defisit lebih tinggi sebanyak RM11.3 bilion berbanding dengan RM9.5 bilion pada suku tahun kedua 2021.

Situasi itu disumbangkan terutamanya oleh syarikat asing di Malaysia yang memperoleh pendapatan lebih tinggi sebanyak RM26.3 bilion, peningkatan sebanyak 3.3 peratus daripada suku sebelumnya khususnya dalam Pelaburan Langsung.

Syarikat tersebut kebanyakannya terlibat dalam sektor Pembuatan dan Kewangan dengan kebanyakan pendapatannya disalurkan ke Singapura, Belanda dan Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, syarikat Malaysia di luar negara memperoleh pendapatan yang lebih rendah sebanyak RM18.0 bilion berbanding dengan RM19.3 bilion pada suku sebelumnya, khususnya dalam pelaburan Lain.

“Kebanyakan syarikat ini terletak di Indonesia, AS dan Singapura, terutamanya terlibat dalam sektor Kewangan dan Perlombongan.

Dalam pada itu, Pelaburan Langsung Asing (FDI) negara direkodkan berkembang sebanyak RM4.6 bilion dengan mencatatkan aliran masuk lebih tinggi sebanyak RM12.8 bilion pada suku ketiga tahun ini, terutamanya dalam bentuk ekuiti dan dana pelaburan saham.

Sektor pembuatan kekal sebagai sektor utama pelaburan asing di Malaysia, diikuti oleh aktiviti Kewangan dan Perdagangan borong dan runcit.

“Sumber utama FDI adalah dari Singapura, Belanda dan AS. Sementara itu, Pelaburan Langsung di Luar Negeri (DIA) berubah arah kepada aliran masuk bersih RM4.7 bilion daripada aliran keluar bersih RM4.0 bilion pada suku sebelumnya.

“Ini disebabkan oleh pengurangan ekuiti dan pinjaman diterima daripada luar negara. Sektor utama yang menyumbang kepada aliran masuk adalah aktiviti Kewangan, dan Perlombongan,” jelas kenyataan itu yang turut memaklumkan bahawa tiga negara utama yang menyumbang aliran masuk DIA adalah Mauritius, Switzerland dan Austria.

Mengulas lanjut mengenai pelaburan terkumpul, Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata kedudukan FDI meningkat sebanyak RM39.3 bilion kepada RM769.6 bilion pada akhir suku ketiga 2021, manakala kedudukan DIA adalah RM543.9 bilion.

Katanya, kedudukan Pelaburan Antarabangsa (IIP) Malaysia juga terus mencatatkan aset bersih sebanyak RM68.1 bilion sementara rizab antarabangsa Malaysia pula meningkat kepada RM482.5 bilion daripada RM461.5 bilion pada akhir suku sebelumnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.