Oleh Ad Aman
3 November 2021, 20:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur  – Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan purata inflasi keseluruhan negara pada tahun 2021 berada dalam unjuran julat antara 2.0 peratus hingga 3.0 peratus.

Jangkaan tersebut adalah selari dengan penilaian sebelum ini dengan mengambil kira tahap inflasi negara yang mencatatkan nilai sebanyak 2.3 peratus sejak awal tahun sehingga sekarang.

Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka berpurata bawah 1.0 peratus pada tahun 2021. Menjelang tahun 2022, inflasi keseluruhan diunjurkan kekal sederhana.

“Jika kegiatan ekonomi kembali normal, inflasi teras dijangka meningkat sedikit, namun masih rendah berikutan keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi dan dalam pasaran pekerja.

Walau bagaimanapun, prospek tersebut akan terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global dan beberapa risiko daripada gangguan berkaitan dengan bekalan yang berlanjutan.

Pada masa sama, BNM mengumumkan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang diadakan pada hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 1.75 peratus.

Sementara itu, MPC menyifatkan pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif dengan  langkah-langkah fiskal dan monetari yang diambil dijangka akan terus mengurangkan kesan ekonomi terhadap perniagaan dan isi rumah, serta memberikan sokongan kepada kegiatan ekonomi.

BNM turut mengulangi komitmennya untuk menggunakan alat-alat dasar yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.