29 Oktober 2021, 11:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Mohd. Faizal semasa meraih Anugerah Kajai 2004, sempena Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS.

Skim Pemisahan Sukarela (VSS) yang ditawarkan oleh pengurusan Utusan Malaysia kepada hampir 700 orang kakitangannya, termasuklah kumpulan editorial surat khabar kompak, Kosmo! Pada tahun 2018 mengakibatkan banyak yang kehilangan pekerjaan, sekali gus pendapatan tetap. Perkara ini menyebabkan mereka tidak mempunyai banyak pilihan sehingga terpaksa nekad untuk memulakan kehidupan baharu dalam pelbagai karier demi kelangsungan hidup.

Begitulah yang dialami oleh Mohd. Faizal Zakaria (atau lebih dikenali sebagai Faizal), 45 tahun yang pada ketika itu menjawat jawatan sebagai Pengarang Prosesan Editorial Kosmo!. Faizal telah berkhidmat dengan Utusan-Kosmo! sejak tahun 2004 lagi. Latar belakang akademik yang melibatkan penyelidikan berasaskan sains, khususnya kerjaya sebagai saintis dan pengamal media, menyebabkan Faizal buntu seketika apabila beliau dan rakan sekerja yang lain mendapat notis untuk memohon VSS tersebut. Apakah pekerjaan selepas menamatkan karier? Timbul beberapa persoalan yang sering bermain di minda dan rakan sekerja yang lain.

“Kami dimaklumkan notis permohonan untuk VSS adalah sebagai formaliti kerana pada ketika itu juga kewangan Utusan-Kosmo! berada di ambang kritikal. Saya menyedari kerjaya sebagai “orang media” tidak selamanya stabil kerana perubahan gaya hidup berlaku begitu pantas apabila telefon pintar dan pelbagai pelantar media sosial muncul bagai cendawan selepas hujan.

“Persaingan sengit daripada semua pelantar media sosial perlu bersaing dengan media Konvensional, khususnya akhbar bercetak. Hal ini menyebabkan kesan jualan (sirkulasi) dan pendapatan iklan berkurangan hampir 80 peratus,” jelas Mohd. Faizal yang merupakan graduan dalam bidang Mikrobiologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Permohonan VSS Faizal pada bulan Ogos diluluskan oleh pengurusan Utusan-Kosmo! pada Oktober 2018. Nasib yang sama dirasai oleh ratusan rakan sekerja sehingga ada yang seolah-olah tidak percaya bahawa mereka akan menoktahkan perjuangan sebagai lidah masyarakat untuk selama-lamanya.

Lembaran Baharu

Meskipun dilanda ujian yang bersar, Faizal tidak menunggu lama untuk memulakan langkah baharu demi kelangsungan hidup. Pengalaman terlibat dalam pelbagai liputan melibatkan subjek unsur kemanusiaan, pergolakan politik, seni dan budaya, dunia korporat dan pelbagai rencah kehidupan memberikan satu kekuatan dan kelebihan anak kelahiran Kluang, Johor ini.

Memulakan kerjaya sebagai wartawan kadet di Utusan Malaysia dan dua minggu kemudiannya dipinjamkan ke akhbar Kosmo! kerana akhbar kompak yang baharu ditubuhkan pada tahun tersebut memerlukan beberapa wartawan baharu yang telah dilatih oleh pihak editorial Utusan. “Asalnya dipinjamkan sebagai wartawan di Meja Khas, Kosmo!, namun terus diserapkan sebagai wartawan tetap di akhbar tersebut. Orang kuat Kosmo! pada ketika itu, Allahyarham Datuk Baharom Mahusin mengesan bakat kewartawanan saya, walaupun pada hakikatnya kemajuan akademik saya berteraskan bidang Sains Gunaan.

Dunia kewartawanan agak asing kepada diri saya, namun saya mencabar diri sendiri untuk melihat potensi dan sejauh mana kerjaya sebagai pengamal media mampu bertahan. Benarlah, telahan saya bahawa pengalaman dalam bidang media dan kewartawanan membuka mata agar lebih berani menerokai pelbagai bidang di luar kebiasaan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Allahyarham Datuk Baharom sering memberikan galakkan agar saya mencari peluang dan ruang untuk memajukan diri, seperti menjadi pensyarah sambilan di beberapa universiti untuk menambah pendapatan.

Selain itu, beliau juga membantu saya “mencantikkan” laporan berbentuk penyiasatan tentang pencemaran air di Lembah Klang dan Selangor. “Laporan yang bertajuk Air Tercemar tersebut memberikan tuah kepada bapa kepada lima orang cahaya mata ini apabila mendapat pengiktirafan sebagai pemenang utama yang membawa pulang Anugerah Kajai 2004 bersempena dengan Anugerah Kewartawanan Malaysia (anjuran Petronas dan Institut Akhbar Malaysia, MPI),” kongsi Faizal apabila mengimbas kembali perjalanan kerjayanya sebagai pengamal media selama hampir 20 tahun.

Langit Tidak Selalunya Cerah

Selepas memenangi Anugerah Kajai 2004, semangat Faizal untuk meningkatkan kualiti dunia kewartawanan dan pemberitaan khususnya penulisan rencana semakin berkobar-kobar sementelah, pengurusan Utusan-Kosmo! melihat akhbar tersebut berpotensi untuk berkembang dan menjana pendapatan yang tinggi walaupun masih hijau dalam liga media di Malaysia. Pelbagai kejayaan demi kejayaan dicipta akhbar tersebut hasil kerja keras pasukan editorial yang di ketuai oleh Allahyarham Datuk Baharom, Faizal dan rakan editorial, serta wartawan akhbar berkenaan.

“Kusangka panas hingga ke petang, namun hujan di tengah hari. Itulah perumpamaan kerja saya di akhbar Kosmo!. Kami mengambil VSS dan masing-masing memilih haluan hidup demi kelangsungan walaupun tidak pasti ke mana hala tuju pada masa akan datang,” kongsinya.

Menurut Mohd. Faizal, keputusan mengambil VSS menjadi titik permulaan baharu bagi beliau dan rakan niaga, Wan Komo untuk memilih haluan hidup masing-masing demi kelangsungan hidup yang tidak pasti baik ataupun sebaliknya.

“Saya dan seorang rakan sekerja yang merupakan pereka grafik, Norazwan Nazim atau lebih dikenali sebagai Wan Komo mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah syarikat yang memberikan perkhidmatan berkaitan dengan media, seperti membuat rekaan grafik, penerbitan video promosi (produk dan perkhidmatan), membekal bahan berkaitan dengan penganjuran majlis atau acara dan perkhidmatan konsultasi.

“Oleh itu, tertubuhlah perniagaan Make It Bigger Resources (Make It Bigger) yang memulakan operasi di Kota Damansara, Selangor. Pejabat kami pada ketika itu merupakan sebuah “pejabat perkongsian” dengan pelbagai individu seperti kami yang tidak mampu untuk menyewa premis secara total kerana kekangan kewangan.

“Kami diberikan kad akses keluar masuk pejabat berkenaan, menggunakan perkhidmatan dan kelengkapan pejabat seperti mesin mencetak, menggunakan nombor telefon, bilik mesyuarat, bilik istirahat, kafe dan sebagainya. Keadaan ini amat selesa dan sesuai untuk kami berdua bagi membina jenama kerana kami mengambil risiko yang tinggi untuk menerokai dunia keusahawanan yang sangat asing bagi kami,” ujar Faizal yang kini bergelar usahawan sepenuh masa hampir empat tahun.

Benarlah, tiada jalan pintas untuk berjaya. Bayangkan kami menubuhkan syarikat ini pada  penghujung tahun 2018 dengan tiada langsung modal pusingan. Duit gaji dan pampasan VSS digunakan untuk membayar pinjaman bank (rumah, kereta dan pinjaman peribadi) dan bayaran lain, termasuklah kos sara hidup keluarga masing-masing.

Pada ketika itu, pelanggan pertama mereka ialah seorang pengasas produk kesihatan yang memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Make It Bigger untuk merangka kempen media dan periklanan produk tersebut dengan bayaran pertama sebanyak RM30 000 dan yang kedua sebanyak RM20 000.

Walaupun bayaran tersebut agak besar untuk syarikat baharu ini, namun apabila mengambil kira aspek kos untuk kempen tersebut, margin atau keuntungannya hanyalah sekitar RM6000. Namun begitu, bagi Mohd. Faizal dan rakan niaganya, hal ini merupakan satu titik tolak kejayaan syarikat mereka kerana hasil keuntungan tersebut membuatkan mereka berjaya meneruskan operasi syarikat sehingga ke hari ini.

Kini, selepas mengharungi pelbagai onak dan duri dalam dunia perniagaan keusahawanan ini, Mohd. Faizal dan Wan Komo mampu tersenyum bangga kerana syarikat perniagaannya mampu bertahan sehingga pada saat getir, lebih-lebih lagi semasa ketika ini akibat penularan pandemik COVID-19. Penularan wabak ini banyak menyaksikan ribuan syarikat, khususnya milik Bumiputera tersungkur satu per satu, namun Make It Bigger terus bertahan stabil dan berada pada kelasnya yang tersendiri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.