28 Oktober 2021, 17:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jumlah aktiviti eksport Malaysia terus mencatat nilai tertinggi baharu, iaitu sebanyak RM110.8 bilion bersamaan dengan 24.7 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya. Melengkap kepada prestasi yang kukuh, dagangan import juga mencatat kenaikan 26.5 peratus kepada RM84.7 bilion dari tahun ke tahun.

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin mengatakan bahawa peningkatan dagangan eksport ini didorong oleh aktiviti eksport domestik dan eksport semula, iaitu peningkatan dari tahun ke tahun ke-13 bulan berturut-turut sejak September 2020 lalu.

Eksport domestik berjumlah RM87.7 bilion turut menyumbang 79.1 peratus kepada jumlah dagangan eksport, iaitu peningkatan sebanyak 22.4 peratus, manakala eksport semula dengan nilai RM23.2 bilion, meningkat 34.1 peratus dari tahun ke tahun.

Petroleum antara penyumbang terbesar dalam peningkatan dagangan eksport pada negara.

Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir turut menjelaskan bahawa peningkatan eksport didorong oleh keluaran petroleum (RM5.6 bilion); barangan perkilangan logam (RM3.6 bilion); minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit RM2.8 bilion); barangan elektrik dan elektronik (RM2.2 bilion); kimia dan bahan kimia (RM1.7 bilion); barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (RM1.2 bilion); barangan besi dan keluli (RM1.1 bilion) dan gas asli cecair (RM1.1 bilion).

Tambahnya lagi, import Malaysia yang turut menyumbang RM17.7 bilion berbanding dengan bulan yang sama pada tahun 2020 disokong oleh kenaikan permintaan bagi barangan perantaraan, barangan modal dan barangan penggunaan.

“Seiring dengan pemulihan aktiviti ekonomi domestik kesan daripada pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN), prestasi dari bulan ke bulan bagi eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan telah menunjukkan pertumbuhan kukuh, iaitu masing-masing 16.0 peratus, 14.2 peratus, 15.2 peratus dan 22.2 peratus,” ujar beliau dalam kenyataan media pada hari ini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi