27 Oktober 2021, 19:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada Jun lalu, genap 44 tahun hubungan diplomatik Jepun–Djibouti. Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe pernah melawat Djibouti pada Ogos 2013, manakala Presiden Djibouti, Ismail Omar Guelleh pula melawat Jepun pada Disember 2010, Jun 2013 dan Ogos 2019. Hubungan bilateral itu diperkukuh dengan lawatan menteri-menteri dari Jepun dan Djibouti. Antara menteri dari Jepun yang melawat Djibouti termasuklah Menteri Pertahanan, Itsunori Onodera (Mei 2014), Gen Nakatani (Januari 2015), Tomomi Inada (Ogos 2016) dan Taro Kono (Disember 2019) pernah melawat Djibouti.

Menteri dari Djibouti pula ialah Menteri Kesihatan, Abdallah Abdillahi Miguil (Mac 2010), Menteri Pertanian, Penternakan dan Sumber Hidraulik, Abdoulkader Kamil Mohamed (Oktober 2010), Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa, Mahmoud Ali Youssouf (Ogos 2018) dan Perdana Menteri, Abdoulkader Kamil Mohamed (Oktober 2019). Setakat tahun 2018, Djibouti telah menerima geran sebanyak 33.01 bilion yen. Kerjasama teknikal pula melibatkan 6.19 bilion yen. Pada 10 Mac 2020, Jepun memberikan geran bantuan kecemasan bernilai A.S.$7.5 juta kepada Kenya (A.S.$3.6 juta), Somalia (A.S.$3.1 juta) dan Djibouti (A.S.$0.8 juta) akibat kerosakan yang disebabkan belalang.

Pada 12 November 2020, Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun menandatangani perjanjian geran bernilai 2.092 bilion yen dengan kerajaan Djibouti untuk projek pembinaan sekolah rendah dan menengah di Nassib, Balbala. Perdagangan Djibouti – Jepun pada tahun 2020 bernilai 89 juta yen bagi eksport yang membabitkan produk perikanan. Manakala, import bernilai 1.04 bilion yen yang melibatkan kenderaan, besi, keluli dan mesin.

Eksport dari Jepun ke Djibouti pada tahun 2000 bernilai A.S.$18.6 juta. Pada tahun 2001 pula bernilai A.S.$11.5 juta, A.S.$14.8 juta (2002), A.S.$23.7 juta (2003), A.S.$29.6 juta (2004), A.S.$45.4 juta (2005), A.S.$43.8 juta (2006), A.S.$71.8 juta (2007), A.S.$51.2 juta (2008), A.S.$90.6 juta (2009), A.S.$37.1 juta (2010), A.S.$65 juta (2011), A.S.$42.9 juta (2012), A.S.$11.3 juta (2013), A.S.$35 juta (2014), A.S.$48.5 juta (2015), A.S.$31.8 juta (2016), A.S.$51.4 juta (2017), A.S.$33.5 juta (2018) dan A.S.$51.2 juta (2019).

Walau bagaimanapun, nilai eksport dari Djibouti ke Jepun jauh lebih rendah. Nilai eksport pada tahun 2002 berjumlah A.S.$3820. Pada tahun 2003 pula bernilai A.S.$43 200, A.S.$3820 (2004), A.S.$5400 (2007), A.S.$5640 (2008), A.S.$924 000 (2009), A.S.$436 000 (2010), A.S.$9600 (2012), A.S.$48 700 (2014), A.S.$1920 (2016), A.S.$52 500 (2017), A.S.$11 300 (2018) dan A.S.$5610 (2019).

Jepun mempunyai pangkalan tentera di Djibouti sejak tahun 2011 bagi menangani ancaman lanun di Teluk Aden, pantai Somalia dan penglibatan dalam pelbagai misi berkaitan dengan aspek keselamatan yang lain. Lokasi Djibouti amat strategik kerana terletak di Selat Bab el-Mandab yang menjadi laluan masuk ke Laut Merah. Hampir 19 000 buah kapal melalui selat tersebut pada tahun 2020. Kepentingan strategik terbabit menyebabkan banyak negara menempatkan pangkalan tentera. Teluk Aden merupakan laluan perkapalan terpenting bagi Jepun. Pada tahun 2020, sebanyak 1600 buah kapal dagang Jepun yang terdiri daripada kapal pengangkut kenderaan (25%), kapal pembawa kontena (24%), lain-lain muatan (18%), kapal tangki kimia (17%) dan kapal pengangkut pukal (15%) melalui teluk terbabit.

Aktiviti pelanunan di Teluk Aden dan sekitar pantai Somalia meningkat sejak tahun 2001 hingga 2011. Pada tahun 2001, sebanyak 20 insiden pelanunan dilaporkan. Manakala pada tahun-tahun seterusnya melibatkan 18 insiden (2002), 21 insiden (2003), 12 insiden (2004), 48 insiden (2005), 22 insiden (2006), 51 insiden (2007), 111 insiden (2008), 218 insiden (2009), 219 insiden (2010) serta 237 insiden (2011). Kegagalan menangani aktiviti pelanunan akan merugikan pelbagai negara. Hal ini dikatakan demikian kerana kapal-kapal dari Timur terpaksa melalui Tanjung Harapan, Afrika Selatan untuk ke Eropah. Laluan kapal yang semakin jauh menelan kos sebanyak A.S.$89 juta setahun.

Sejak tahun 2009, kapal pemusnah Jepun dan pesawat rondaan maritim P-3C mula terlibat dalam operasi antipelanunan, mengiringi kapal dan menjalankan pengawasan di Teluk Aden. Sebelum mempunyai pangkalan, pesawat Jepun beroperasi dari pangkalan Amerika Syarikat (AS) di Kem Lemonnier yang berada di sebelah selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Djibouti – Ambouli. Pangkalan milik Jepun pula terletak bersebelahan dengan Kem Lemonnier. Pangkalan seluas 12 hektar tersebut mampu menempatkan 180 orang anggota pengawal pantai dan Pasukan Pertahanan Diri Jepun serta apron dan hangar pesawat. Pembinaannya menelan kos sebanyak A.S.$40 juta.

Apabila mempunyai pangkalan, Jepun telah menempatkan satu atau dua kapal pemusnah dan dua buah pesawat P-3C. Setakat 31 Disember 2020, kapal pemusnah Jepun telah mengiringi 3922 buah kapal pelbagai negara yang melalui Teluk Aden. Manakala sejak Jun 2009 hingga 31 Disember 2020, jumlah aktiviti pengawasan oleh pesawat Jepun melibatkan 2 653 misi penerbangan dan 19 610 jam penerbangan. Aktiviti pelanunan juga menurun di Teluk Aden dan sekitar pantai Somalia. Pada tahun 2012, sebanyak 75 insiden pelanunan dilaporkan. Pada tahun 2013, hanya 15 insiden dilaporkan, 11 insiden (2014), 2 insiden (2016), 9 insiden (2017) dan 3 insiden (2018). Manakala, tiada insiden pelanunan dilaporkan bagi tahun 2015, 2019 dan 2020.

Sebagai langkah bersiap siaga, Jepun masih melaksanakan latihan cegah pelanunan bersama-sama tentera laut dari pelbagai negara dalam European Union Naval Force (EUNAVFOR) dan Combined Task Force 151 (CTF151). Pada Januari, Februari, Jun, Julai dan Oktober 2020, Jepun bersama-sama Sepanyol, Jerman dan Pakistan telah melaksanakan latihan mencegah aktiviti pelanunan. Pada 10 Mei 2021 pula, Jepun, Itali, Sepanyol dan Djibouti mengadakan latihan antipelanunan bersama-sama di Teluk Aden. Britain dan Jepun mengadakan latihan yang sama pada 11–12 Julai 2021.

Selain misi antipelanunan, pangkalan tersebut digunakan untuk menyokong penglibatan Jepun dalam Misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Sudan Selatan sejak tahun 2012, mengagihkan bantuan perubatan pada tahun 2013 susulan serangan pengganas terhadap loji gas asli di Nigeria yang mengorbankan 10 orang warga Jepun dan memindahkan warga Jepun dari Sudan Selatan pada Julai 2016. Ketika lawatan ke Djibouti pada Ogos 2016, Menteri Pertahanan Jepun, Tomomi Inada mengumumkan bahawa Tokyo akan mengembangkan lagi fungsi pangkalannya. Pada tahun 2017, Jepun melaksanakan latihan operasi pemindahan di pangkalan tersebut.

Tindakan Jepun yang meluaskan peranan pangkalannya di Djibouti dilihat sebagai usaha untuk mengimbangi pengaruh China di Afrika. China mula membuka pangkalannya di Djibouti pada tahun 2017. Pada tahun 2019, pelaburan langsung asing China di Afrika berjumlah A.S.$44 bilion berbanding dengan Jepun yang berjumlah A.S.$20 bilion untuk tempoh 2016–2018, manakala eksport China ke Afrika pula berjumlah A.S.$113 bilion dan import pula berjumlah A.S.$78 bilion pada tahun 2019. Perdagangan Jepun–Afrika pula hanya bernilai A.S.$17 bilion. Hal ini membuktikan bahawa pengaruh China melalui pelaburan dan perdagangan didapati lebih besar berbanding dengan Jepun. Walau bagaimanapun, penglibatan Djibouti dianggap masih penting sebagai langkah keselamatan, sekali gus meluaskan pengaruh Jepun di Afrika.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.