26 Oktober 2021, 10:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kempen Beli Barangan Malaysia memasuki usia 23 tahun pada tahun ini. Pada tahun 2010, penjenamaan semula dilancarkan daripada kempen Beli Barangan Buatan Malaysia. Hal ini bermakna sudah lebih dua dasawarsa kerajaan bertungkus lumus bagi mempromosikan kempen ini kepada rakyat. Kita sedia maklum bahawa pelbagai iklan, wacana, perbincangan dan artikel dipaparkan menerusi media massa dilakukan untuk menjentik rakyat supaya membeli barangan tempatan. Secara umumnya, barangan termasuk dalam kategori benda dan perkhidmatan.

Pembelian barangan tempatan sangat penting dalam usaha meningkatkan ekonomi negara. Namun begitu, dalam tempoh pandemik COVID-19, ekonomi Malaysia tidaklah begitu memberangsangkan. Hal ini dapat dibuktikan apabila Kementerian Kewangan Malaysia sedar akan risiko ketidaktentuan ekonomi domestik dan global akibat penularan varian baharu COVID-19. Pandemik memberikan kesan kepada kemampuan ekonomi setiap individu. Kuasa beli pengguna semakin menurun, namun hal ini tidak menghalang masyarakat untuk terus berbelanja. Akibat tekanan yang dihadapi semasa wabak, selain terkurung di dalam rumah, masih terdapat individu yang mengurangkan keresahan dan rasa stres mereka dengan mendapatkan barangan atau perkhidmatan yang diingini.

Oleh sebab itu, suatu persoalan penting yang harus dipersoalkan selama 23 tahun ini, benarkah kempen ini dilihat berjaya meraih perhatian dan sokongan masyarakat? Dalam hal ini, sekiranya kita melihat semula kejayaan kempen Beli Barangan Malaysia, ternyata kita belum mampu berbangga dengan hasilnya. Hal ini dikatakan demikian kerana rakyat masih gemar membeli barangan dari luar negara disebabkan persepsi terhadap jenama antarabangsa lebih hebat dan berkualiti. Sekiranya kita meneliti sikap sesetengah masyarakat, mereka dimomokkan dengan barangan Malaysia yang tidak membawa imej mewah, status, kelas dan mutu.

Lebih teruk lagi apabila harga murah dan berpatutan yang ditawarkan itu mewujudkan rasa syak wasangka terhadap kualiti barangan tempatan. Sikap prejudis inilah yang menyebabkan barangan tempatan ketinggalan jauh ke belakang. Hal ini amat menyedihkan kerana masyarakat tempatan sendiri tidak yakin dengan produk dan servis tempatan. Berbicara tentang barangan tempatan, usahlah kita melupakan jenama tempatan yang memperoleh ruang dalam pasaran antarabangsa seperti Proton, Perodua, Munchy’s, BABAS, Dutch Lady dan pelbagai lagi.

Perodua.
BABAS.
Dutch lady.
Proton.
Munchy’s.
Antara jenama keluaran Malaysia yang memperoleh ruang dalam pasaran antarabangsa.

Kesedaran terhadap jenama tempatan masih rendah kerana terdapat masyarakat yang tidak mengenali barangan tempatan, lebih-lebih lagi barangan yang dihasilkan  oleh usahawan tempatan yang terlibat dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Lebih tepat lagi, tidak ada keinginan untuk ambil tahu kerana kurang dipedulikan sejak dahulu lagi. Walaupun penandaan logo buatan Malaysia dilakukan terhadap kebanyakan produk, keadaan ini tidak memberikan impak yang secukupnya terhadap pembelian barangan tempatan.

Bagi kebanyakan individu, hak membeli itu merupakan pilihan sendiri dan tidak boleh dipaksa. Mereka bebas memilih apa-apa jenama yang berprestij dan bertaraf antarabangsa kerana wang yang dibelanjakan itu sememangnya milik mereka. Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia berkemungkinan besar masih tidak meninggalkan sebarang kesan kepada masyarakat. Walaupun kempen ini dijalankan secara meluas, namun tidak bermakna benar-benar sampai kepada rakyat. Barangkali kaedahnya masih tidak cukup efektif untuk meningkatkan keyakinan pembeli.

Masih banyak produk yang belum dihasilkan oleh usahawan tempatan. Perkara ini menjurus terhadap monopoli barangan luar dalam pasaran ekonomi negara. Tidak cukup dengan itu, pembelian produk dari luar negara, terutamanya dari China kerana negara itu mengeluarkan hampir semua produk yang dicari oleh pengguna dunia. Tambahan pula, China menawarkan harga murah dan mampu milik, sekali gus menjadi satu daripada faktor penarik.

Penyelesaian tuntas perlu dilakukan bagi menangani cabaran ekonomi yang dilihat agak kompleks ini. Oleh sebab kita menganggap kempen ini membuang masa dan tidak akan memberi sebarang kemaslahatan, kita wajar mengubah tanggapan masyarakat bahawa hal ini merupakan masalah yang perlu diperbaiki. Sekiranya kita ingin melihat masyarakat berbangga dengan barangan tempatan dan menyokong hasrat murni ini selari dengan waktu pandemik, maka kita wajar melakukan beberapa perkara.

Aplikasi media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan TikTok tidak asing lagi dalam kehidupan setiap individu. Media sosial ini menjadi medan sebaran baharu yang menggantikan wahana komunikasi tradisional. Setiap usahawan dan industri yang memasarkan barangan tempatan harus mempromosikan barangan mereka. Lebih berkesan sekiranya mereka menggunakan tanda pagar (#BeliBaranganBuatanMalaysia) dalam hantaran, kapsyen dan ciap untuk memudahkan carian masyarakat. Tidak cukup dengan itu, setiap individu yang membeli barangan tempatan boleh mengkritik dan menilai sekiranya sesuatu produk atau perkhidmatan itu bermasalah supaya kesilapan boleh diperbaiki dan mewujudkan kesedaran bahawa masyarakat sangat menitikberatkan kualiti sesuatu barangan. Bukan sahaja kritikan, malah pujian dan penilaian positif paling signifikan perlu dilakukan untuk meningkatkan keyakinan para pembeli kerana media sosial menawarkan keupayaan untuk berkomunikasi dengan pelbagai cara.

Selain itu, tidak dapat dinafikan bahawa kuasa tular daripada pempengaruh kini dikatakan begitu ampuh. Kuasa pempengaruh kini begitu penting untuk menyampaikan saranan atau cadangan kepada masyarakat. Dengan memuat naik video mempromosikan barangan tempatan di TikTok dan YouTube misalnya, majoriti masyarakat akan menontonnya, sekali gus meningkatkan rasa minat untuk memilikinya.

Pada masa yang sama, aplikasi e-Dagang seperti Shopee, GoShop dan Lazada wajar bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam mewujudkan ruang atau kategori barangan tempatan dalam platform dagangan mereka. Hal ini memudahkan masyarakat untuk mengenal pasti barangan tempatan yang ditawarkan mengikut jenis produk. Pihak yang berkenaan juga boleh mencipta aplikasi baharu yang hanya menjual barangan tempatan sepenuhnya. Jika dilihat pada tahun 2019, Karnival Beli Barangan Malaysia Peringkat Kebangsaan diadakan di Johor. Dalam tempoh pandemik sebelum ini, aktiviti seperti ekspo dan karnival tidak dapat dijalankan secara fizikal. Oleh hal yang demikian, pihak berwajib disarankan untuk mengadakan e-karnival yang memfokuskan barangan tempatan sahaja.

Masyarakat seharusnya tidak berasa ragu-ragu untuk membeli dan mencuba barangan tempatan. Berbelanjalah dengan membeli barangan tempatan kerana sokongan kita diperlukan dan budaya mencintai barangan tempatan perlu diterapkan dalam diri masing-masing. Sekiranya tidak berpuas hati dengan kualiti barangan, teruslah menghulurkan kritikan supaya penambahbaikan dapat dilakukan. Segala konotasi negatif terhadap barangan tempatan perlu dibuang mulai sekarang.

Pembukaan kedai serbaneka barangan tempatan yang menjual pelbagai keperluan harian perlulah dijual dengan harga yang berpatutan. Suka atau tidak, barangan tempatan perlu bersaing dengan produk luar negara bagi mendapat tempat dalam hati masyarakat.

Seterusnya, usaha untuk meningkatkan pengeluaran produk yang sukar ditemui di Malaysia perlu dilakukan secara berperingkat. Barangan yang sentiasa dikehendaki masyarakat, namun tidak dapat dijumpai perlu dibawa ke pasaran semasa. Lambakan barangan tempatan dengan permintaan masyarakat yang setara mampu mengurangkan pembelian barangan antarabangsa. Dengan penawaran subsidi kerajaan, harga yang ditawarkan pasti berbaloi untuk dibeli. Hal ini seterusnya dapat membantu mengurangkan aktiviti import dari luar negara dan juga pengaliran wang keluar.

Walaupun kesemua cadangan ini tidak mampu dilaksanakan dalam jangka masa pendek, namun demi melihat perubahan yang komprehensif, hal ini wajar difikirkan secara mendalam. Cukup-cukuplah masyarakat Malaysia sendiri menyisihkan barangan buatan Malaysia.

Era endemik ini merupakan waktu terbaik untuk kita membantu negara, usahawan kecil atau persendirian dan industri tempatan. Tiada sesiapa akan membeli barangan tempatan sekiranya rakyat sendiri memandang enteng usaha mereka. Wabak ini menyebabkan kebanyakan orang kehilangan pekerjaan. Peluang pekerjaan pula semakin terhad dalam kalangan graduan baharu. Sekiranya rakyat Malaysia berganding bahu dengan menyokong hasrat murni pembelian barangan tempatan ini, semestinya permintaannya akan terus meningkat. Sekiranya permintaan bertambah, pengeluaran juga berlaku secara mendadak dan mampu membawa kepada penambahan tenaga kerja apabila rakyat Malaysia dapat mengisi peluang pekerjaan yang terhasil daripada usaha tersebut. Hanya dengan sebuah usaha kecil kita ini, kita dapat menikmati hasilnya untuk jangka masa panjang.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi