25 Oktober 2021, 16:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Faedah bank ini lebih rendah, lagi untung untuk pinjaman jangka panjang.”

“Bayar minimum penggunaan kad kredit, penalti nanti 1% sahaja. Sedikit sahaja perlu bayar.”

“Kami hutang dulu jongkong emas ini dengan Mak ya, apabila harga emas naik, kami bayar hutang emas ni balik.”

“Mak Cik, petang-petang sikit ya saya bagi semangkuk garam halus, sekarang saya guna dulu garam kasar makcik ini untuk masak gulai.

Ungkapan-ungkapan seumpama ini sering kali kita mendengarnya dalam kehidupan seharian tanpa mengendahkan hukum pengharaman riba, sekali gus telah bersekongkol dengan jenayah Syariah. Riba bermaksud tambahan, menambah atau menjadikannya lebih daripada apa-apa yang diberikan. Riba merupakan amalan semenjak zaman Jahiliah dan masyarakat menganggapnya sebagai penghasilan yang tidak suci. Hal ini terbukti semasa pembinaan untuk proses pembaikan Kaabah, mana-mana sumbangan daripada sumber yang bercampur dengan riba ditolak sama sekali.

Riba sering kali wujud dalam institusi kewangan konvensional yang melibatkan aktiviti pinjaman. Contoh situasi yang dapat diterjemahkan ialah apabila Puan A memohon pinjaman peribadi wang berjumlah RM100 000 dari bank konvensional dan disyaratkan membayar balik wang tersebut dengan nilai RM104 000 (4% faedah). Maka itu, lebihan nilai atas hutang pokok tersebut yang bernilai RM4000 itu ialah riba. Contoh situasi lain pula, Puan B meminjam wang berjumlah RM10 000 daripada Ah Long dan pembayaran semula perlu dilakukan sebelum 31 Disember 2021, namun Puan B tidak dapat melunaskan hutang pada tarikh tersebut dan meminta dilanjutkan tempoh untuk bayaran semula. Tempoh baharu diberikan sehingga 1 Jun 2022, tetapi jumlah bayaran yang dikenakan bertambah menjadi RM11 000. Oleh itu, tambahan RM1000 yang dikenakan itu ialah riba.

Riba juga boleh berlaku dalam pelaburan terutamanya yang melibatkan barangan riba seperti emas dan perdagangan pertukaran mata wang asing (forex). Pelabur emas pada kebiasaannya membeli emas tanpa ada fizikal (gharar), tidak berlaku penyerahan (taqabbud), kaedah lock price dan ETA (estimated time of arrival) yang memungkinkan terdedah dengan unsur riba. Begitu juga dengan pelaburan yang melibatkan mata wang atau forex yang masih terdedah dengan riba disebabkan bercanggahan dengan syarat pertukaran riba. Antara aktiviti forex yang terdedah dengan riba seperti pengenaan rollover interest, syarat jual beli dalam pemberian hutang melalui leverage dan qabd yang tidak jelas ketika transaksi pertukaran, penjualan mata wang yang tiada dalam pegangan dan spekulasi. Spekulasi juga turut melibatkan perjudian (maysir).

Selain itu, riba juga boleh didapati dalam urus niaga dan perdagangan sama ada daripada modal pinjaman ataupun transaksi barang perniagaan (barangan ribawi). Kaedah jual beli syiling emas, wafer dan jongkong emas secara ansuran atau dalam talian contohnya boleh membawa kepada berlakunya riba fadl (riba pertukaran).

Amalan riba juga tidak mustahil wujud dalam kehidupan seharian kita yang melibatkan pertukaran barangan ribawi yang menyalahi syarat pertukaran tanpa kita sedari. Umpamanya ketika kita kehabisan garam kasar untuk memasak dan meminta menukarkan garam tersebut dengan garam halus daripada jiran sebelah rumah. Apabila serahan tidak berlaku serta merta boleh menghasilkan riba fadl yang kita mungkin tidak perasan. Begitu juga apabila pertukaran dengan kawan kita semangkuk kurma Ajwah dengan 2 mangkuk kurma Mariami yang kita miliki akan menghasilkan riba fadl.

Barangan ribawi ada enam jenis yang dibahagikan kepada dua kelompok; Kelompok pertama ialah mata wang, iaitu emas dan perak, manakala kelompok kedua ialah makanan asasi, iaitu gandum, barli, tamar dan garam. Wang kertas, iaitu Ringgit Malaysia merupakan mata wang dikiaskan dengan emas manakala beras dikiaskan dengan makanan asasi penduduk Malaysia (‘uruf).

Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah bin al-Samit: “Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam, perlu sama, timbangan sama dan diserah tangan segera. Jika dengan jenis yang berbeza, juallah seperti mana kamu kehendaki selagi ia serahan segera.“(Riwayat Muslim)

Terdapat tiga syarat khusus perlu dipatuhi bagi memastikan transaksi barangan ribawi ini tidak berlaku riba. Syarat tersebut ialah;

  1. Tamathul تماثل, pertukaran sesama jenis perlu berkadaran yang sama (berat/gram yang sama).
  2. Hulul حلول tidak boleh bertangguh.
  3. Taqabudh  تقابض , mesti berlaku penyerahan nyata dalam majlis.

Bahaya Riba dan Nas Pengharaman yang Jelas dalam al-Quran

Allah SWT mengisytiharkan perang ke atas pelaku riba. Hal ini terkandung dalam penegasan-Nya dalam ayat 278-279 Surah al-Baqarah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba, jika kamu orang yang beriman. Jika kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya.” (al-Baqarah’: 278-279)

Daripada Ibn Mas’ud, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya riba walaupun banyak (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya akan membawa kepada sedikit dan papa.” (Riwayat Ahmad)

Malah, tidak keterlaluan dikatakan mereka yang mengamalkan riba seperti berzina dengan ibu bapa sendiri kerana Nabi SAW bersabda: “Riba mempunyai 73 pintu, riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.” (Riwayat Ibn Majah, sahih menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim)

Maka itu, jelaslah bahawa riba termasuk dalam kategori tujuh dosa besar di samping syirik, sihir, membunuh, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang serta menuduh perempuan suci berzina. Oleh sebab itu, wajib bagi setiap Muslim untuk sentiasa berhati-hati dan meyakini adanya maut dan menjauhi perkara haram supaya terhindar daripada azab-Nya.

Kita mungkin alpa tatkala perundangan riba tidak digazet di negara ini dengan pelaksanaannya dalam institusi kewangan konvensional berlaku secara terang-terangan dan dilanggan oleh kebanyakan orang tanpa rasa berdosa sekali gus menjadi alasan untuk masih bersama riba. Kita juga sering memberi alasan sibuk, malas, belum sampai seru dan pelbagai lagi alasan untuk tidak berubah. Natijahnya sehingga hari ini masih banyak umat Islam memiliki harta “riba” yang tidak wajar sama sekali wujud dalam kehidupan seorang Muslim.

Penyelesaian Elak Riba

Malaysia merupakan model terunggul di Asia Tenggara yang menerajui sistem kewangan Islam. Masyarakat Islam di Malaysia mempunyai pelbagai pilihan produk dan perkhidmatan kewangan Islam mengikut kehendak dan keselesaan masing-masing. Oleh hal yang demikian, tiada alasan untuk bergelumang dengan riba lagi. Antara penyelesaian untuk mengelak riba yang boleh dicadangkan, termasuklah:

  1. Jauhi ceti haram dan melanggan produk serta perkhidmatan di perbankan Islam sahaja. Bermula dari akaun simpanan biasa, akaun keluar masuk gaji, akaun bersama suami isteri sehinggalah ke akaun perniagaan sekiranya mempunyai syarikat sendiri. Begitu juga apabila kita berurusan dengan koperasi yang ada menawarkan skim pinjam dan hutang tertentu, pastikan produk dan perkhidmatan koperasi tersebut patuh Syariah.
  2. Melanggan takaful (insurans Islam) dan bukan insurans konvensional. Takaful ialah satu konsep insurans yang berlandaskan hukum Syariah. Secara asasnya konsep takaful adalah berteraskan kerjasama, tanggungjawab, perlindungan atau dengan kata lain memberikan perlindungan ke atas aset bersama dan menawarkan perkongsian risiko sesama ahli. Pelbagai produk takaful berada di pasaran pada hari ini sama ada dalam kategori takaful am mahupun takaful keluarga.
  3. Elak terlibat dengan pelaburan tidak patuh syariah. Kaedah mudah untuk mengenal pasti pelaburan patuh syariah atau sebaliknya adalah dengan melihat kepada prospektus pelaburan dan panel penasihat syariah di dalam syarikat tersebut. Bagi pelaburan saham, sudah terdapat senarai saham patuh syariah, manakala untuk pelaburan hartanah pula, sebaik-baiknya dengan menggunakan pembiayaan perbankan Islam sahaja.
  4. Kawal sifat tamak dan sentiasa berhati-hati dalam pelaburan emas dan perak. Kita sebagai umat Islam perlu sentiasa berpegang pada tiga syarat pertukaran barangan ribawi iaitu; tamathul, hulul dan taqabbud sebagaimana yang dihuraikan sebelum ini.
  5. Tidak terlibat dalam pelaburan forex yang ditawarkan di Internet secara maya.
  6. Mengelakkan penggunaan skim pembayaran mudah. Pembayaran jenis ini pada kebiasaannya ditawarkan dalam pembelian perabot, barangan elektrik dan elektronik dan dikhuatiri kewujudan penalti (riba) bagi bayaran yang tidak dapat dilakukan dalam tempoh yang ditetapkan. Pembayaran tunai adalah yang terbaik.

Keberkatan Hidup

Hari ini kita diuji dengan pandemik COVID-19 yang melemahkan sistem ekonomi negara, peningkatan angka kemiskinan, menambahkan tekanan masyarakat, menghilangkan nikmat kesihatan dan meragut ribuan nyawa. Sudah tiba masanya kita meletakkan prioriti keberkatan dalam amalan harian kita agar ujian seumpama ini dapat “ditawan” dengan kesabaran yang tinggi dan mendapat pertolongan daripada Yang Maha Esa. Riba wajib dibuang secara total dalam kehidupan kita agar keberkatan harta terjaga. Kehilangan berkat dalam harta berlaku apabila kuantiti harta yang banyak tidak pernah cukup bagi memenuhi keperluan dan mudah hilang atau habis melalui jalan yang tidak berfaedah. Malah, harta itu menjadi asbab ringannya pemilik untuk melakukan maksiat, berada dalam kefasiqan dan hina di sisi Allah SWT, sekali gus membawa kepada hilangnya sifat amanah, cenderung kepada rasuah, penipuan dan tamak haloba.


Profesor Madya Dr. Salmy Edawati Yaacob, Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.