22 Oktober 2021, 16:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Indeks Harga Pengguna (IHP) menunjukkan peningkatan 2.2 peratus pada September 2021 kepada 122.8 berbanding dengan 120.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. IHP merekodkan kenaikan bagi bulan kelapan berturut-turut semenjak Februari 2021 disebabkan oleh kesan asas pada tahun lalu. Jabatan Perangkaan Malaysia mengeluarkan laporan berkaitan Indeks Harga Pengguna (IHP), September 2021 pada hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin menekankan bahawa “Kumpulan pengangkutan terus mencatat kenaikan dua digit sejak Mac dan terus meningkat 11.0 peratus pada September 2021 berbanding dengan tahun lalu. Makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 1.9 peratus dan peningkatan tertinggi dicatatkan oleh subkumpulan daging (5.8 peratus) disebabkan oleh kenaikan purata harga ayam pada September lalu, iaitu RM9.35 sekilogram berbanding dengan RM8.50 pada September tahun lalu.”

“Selain itu, subkumpulan ikan dan makanan laut meningkat 3.5 peratus, terutamanya disebabkan oleh peningkatan dalam purata harga ikan kembong kepada RM15.60 (September 2020: RM14.30) dan ikan selayang kepada RM11.40 (September 2020: RM9.80).”

Tambahan pula, hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah turut meningkat 1.7 peratus diikuti oleh perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.7 peratus) dan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.6 peratus). Kedua-dua restoran dan hotel dan kesihatan mencatatkan peningkatan marginal 0.3 peratus, manakala minuman alkohol dan tembakau meningkat 0.4 peratus. Komunikasi kekal tidak berubah, manakala pakaian, kasut, pelbagai barangan dan perkhidmatan kedua-duanya menurun negatif 0.5 peratus. Pendidikan juga merekodkan penurunan marginal negatif 0.1 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya.

Menurut Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir, IHP bagi suku tahun ketiga 2021 meningkat 2.2 peratus kepada 122.6 berbanding dengan 120.0 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya. Bagi perbandingan suku tahunan pula, IHP mencatatkan penurunan negatif 0.4 peratus berbanding dengan suku tahun kedua 2021.

Bagi perbandingan dari bulan ke bulan, IHP meningkat 0.2 peratus berbanding Ogos 2021. Peningkatan ini disumbangkan oleh makanan dan minuman bukan alkohol (0.6 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.1 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.1 peratus).

Selain itu, indeks teras yang meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali item makanan segar yang mempunyai harga tidak menentu serta harga yang dikawal meningkat 0.6 peratus pada September 2021 berbanding dengan tahun sebelumnya. Antara kumpulan yang mendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (1.7 peratus); dan makanan dan minuman bukan alkohol (1.0 peratus).”

Sementara itu, IHP tanpa bahan api meningkat 0.8 peratus pada September 2021 kepada 113.4 berbanding dengan 112.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali Petrol Tanpa Plumbum RON95, Petrol Tanpa Plumbum RON97 dan Diesel.

Secara keseluruhannya, kesemua negeri mencatatkan peningkatan IHP pada September 2021. Lapan negeri, iaitu Terengganu (3.1 peratus), Pahang (2.8 peratus), Kelantan (2.8 peratus), Sarawak (2.5 peratus), Perak (2.5 peratus), Johor (2.4 peratus), Kedah dan Perlis (2.4 peratus) dan Melaka (2.3 peratus) menunjukkan peningkatan melepasi paras IHP nasional 2.2 peratus pada September 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya. Kesemua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Pahang (2.7 peratus), diikuti oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.4 peratus), Perak (2.4 peratus), Terengganu (2.2 peratus), Johor (2.2 peratus), Melaka (2.2 peratus) dan Kelantan (2.1 peratus). Sementara itu, peningkatan bagi negeri selebihnya adalah di bawah paras indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol nasional.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.