22 Oktober 2021, 18:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Perangkaan Malaysia menerbitkan Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan bagi Ogos 2021. Indeks Pelopor (IP) merupakan alat yang digunakan untuk memberikan petunjuk ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia.

Mengulas terhadap laporan tersebut, Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia berkata: “Prestasi IP pada Ogos 2021 semakin reda dengan 106.2 mata, mencatatkan pertumbuhan negatif yang lebih baik pada 2.3 peratus (Julai 2021: -4.0 peratus) berbanding dengan bulan yang sama pada tahun 2020.

Penurunan IP dipengaruhi oleh kemerosotan dalam Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan berikutan pasaran hartanah yang mencabar dan sentimen pesimis dalam kalangan pelabur semasa pandemik COVID-19. Bagi perbandingan bulanan, IP menunjukkan peningkatan sebanyak 1.1 peratus dengan kebanyakan komponen mencatatkan pertumbuhan positif terutamanya didorong oleh kenaikan dalam jangkaan nilai jualan di sektor pembuatan (1.3 peratus).

Dengan mengambil kira prestasi IP yang lebih baik dan peralihan lebih banyak negeri di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), beliau menjangkakan bahawa ekonomi negara berkemungkinan besar semakin baik pada bulan yang berikutnya. Selain itu, prospek pembangunan ekonomi yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) akan memacu pemulihan ekonomi melalui agenda jangka panjang global dan nasional sepanjang tahun 2021 hingga 2025.

Indeks Serentak (IS) yang mencerminkan prestasi aktiviti ekonomi semasa menurun 1.6 peratus pada Ogos 2021 (Julai 2021: -5.2 peratus), namun trend penurunan yang lebih baik. Indeks itu telah merekodkan 108.2 mata berbanding dengan 110.0 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya. IS telah meningkat 4.2 peratus pada Ogos 2021. Kapasiti Penggunaan di sektor pembuatan (2.9 peratus) dan indeks kuantiti perdagangan runcit (0.9 peratus) merupakan penyumbang utama kepada peningkatan dalam IS.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.