21 Oktober 2021, 15:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
AirAsia dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia 2021 dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia.

Sepang – Meskipun dilanda cabaran sepanjang pandemik COVID-19, AirAsia kekal mempertahankan kredibilitinya selama lima tahun berturut-turut sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia 2021.

Tidak hanya mendapat pengiktirafan tersebut, AirAsia turut dianugerahkan sebagai Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia untuk tahun keenam di World Travel Awards 2021 edisi ke-28.

“World Travel Awards merupakan satu daripada program anugerah yang paling berprestij di dalam industri pelancongan global yang mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan di seluruh sektor utama industri perjalanan, pelancongan dan hospitaliti,” kata Graham E. Cooke, Pengasas World Travel Awards.

Melalui kenyataan media pada hari ini, syarikat AirAsia mengungguli kategori utama berikutan jumlah undian tertinggi daripada pengguna dan penggiat industri profesional di rantau ini.

Ketua Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation, Bo Lingam berkata: “Kejayaan ini merupakan pencapaian yang sangat luar biasa dan kami tujukan anugerah ini kepada AllStars yang bekerja keras walaupun dilanda krisis semasa, namun masih mementingkan keutamaan kepada para pelanggan.”

Kini kami dapat melihat keadaan semakin pulih dan kami tidak sabar untuk kembali terbang lebih tinggi di semua pasaran utama dengan standard keselamatan dan kepatuhan tertinggi sempena pembukaan sekatan perjalanan secara beransur-ansur.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada World Travel Awards, serta lebih 600 juta pelanggan yang telah terbang bersama kami, dan rakan industri atas sokongan dan pengiktirafan mereka.

Menurut beliau, susulan pandemik COVID-19, AirAsia dapat mengenal pasti setiap aspek operasinya secara lebih menyeluruh untuk kembali aktif serta stabil. AirAsia menawarkan pelbagai pengalaman perjalanan dan gaya hidup sehenti melalui aplikasi AirAsia Super App.

Sementara itu, Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia, Suhaila Hassan mengatakan bahawa anugerah Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia ini dapat memperkukuh lagi komitmen AirAsia untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.

Kami percaya 18 bulan yang lalu merupakan masa yang amat mencabar untuk semua orang, terutamanya mereka yang berada dalam industri penerbangan dan pelancongan. Anugerah ini sekali lagi mencerminkan keunggulan AirAsia dalam perkhidmatan yang mengutamakan pelanggan kami. Kami tidak sabar untuk kembali menyambut para pelanggan dengan perkhidmatan terbaik di ASEAN sempena pembukaan semula sekatan perjalanan.

Setelah melalui fasa pandemik COVID-19 ini, AirAsia akan terus komited memenuhi permintaan pengguna dari semasa ke semasa serta meningkatkan daya keselamatan dalam mengorak langkah pemulihan terhadap perjalanan udara yang merangkumi domestik dan antarabangsa.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi