15 Oktober 2021, 17:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Teknologi Maklumat dan komunikasi (TMK) mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 10.4 peratus bersamaan RM320 bilion pada tahun 2020. Situasi penularan COVID-19 telah menjejaskan aktiviti ekonomi dan sosial berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun situasi ini memberikan manfaat kepada industri TMK melalui pertumbuhan ekonomi digital.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, sumbangan tersebut merangkumi Nilai Ditambah Kasar Industri Teknologi Maklumat dan Komunikasi (NDKTMK), 14.2 peratus dan e-dagang bagi industri lain, 8.4 peratus.

Pertumbuhan positif ini selari dengan fokus utama kerajaan dalam pemerkasaan ekonomi digital yang akan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi memulihkan pertumbuhan negara akibat kesan pandemik COVID-19.

Mengulas lebih lanjut, NDKTMK e-dagang menunjukkan peningkatan sebanyak RM163.3 bilion pada tahun 2020 berbanding dengan RM129.2 bilion tahun lalu.

“Pelaksanaan pelbagai fasa kawalan pergerakan bagi membendung penularan COVID-19 dan penutupan sektor ekonomi bukan utama (essential) juga mendorong pengguna untuk meningkatkan pembelian secara dalam talian, seterusnya mempercepatkan pertumbuhan pasaran e-dagang di Malaysia,” kata Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau lagi, sebahagian besar guna tenaga dalam industri TMK diterajui oleh industri pembuatan TMK sebanyak 35.3 peratus diikuti perkhidmatan TMK 29.5 peratus dan perdagangan TMK 21.7 peratus.

Industri TMK menunjukkan perkembangan positif walaupun negara berhadapan pandemik COVID-19. Hal ini dapat dilihat dari pertumbuhan ekonomi digital dengan penggunaan teknologi dari perusahaan yang mula beralih dari cara tradisional ke arah digital dan platform e-dagang.

Beliau sempat menyeru penduduk Malaysia supaya memberikan kerjasama dalam menjayakan Banci Malaysia 2020 bagi memastikan tiada yang ketinggalan kerana “Data Anda Masa Depan Kita”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.