15 Oktober 2021, 11:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Make It Bigger Resources, perniagaan pemasaran melalui penerbitan kandungan.

Mungkin tidak setanding Noor Neelofa, selebriti terkenal di Malaysia dan juga selebriti media sosial, Khairul Aming yang mencipta populariti berikutan sering kelihatan dalam dunia maya. Berdasarkan laporan, sambal yang dipasarkan di Instagram oleh Khairul Aming terjual hampir 273 000 unit dengan harga RM13.90 sebotol. Mengikut kiraan kasar, keuntungan jualan Khairul menerusi laman web Shopee diperoleh sebanyak RM3.8 juta, iaitu hampir RM4 juta dengan hanya menjual sambal.

Neelofa mungkin lebih bertuah disebabkan telah mencipta jenama diri sebagai selebriti menerusi program realiti Dewi Remaja. Khairul bukanlah selebriti sebaliknya muncul mencipta nama menerusi perkongsian video masakan hampir tiga tahun sebelum berjaya meraih keyakinan orang ramai. Kedua-dua figura ini bukanlah dua kes eksklusif, sebaliknya terdapat ratusan lagi pihak yang mencipta kekayaan dengan hanya menerbitkan kandungan unik, fokus dan informatif.

Ironinya, masyarakat hanya memberikan fokus kepada nilai ringgit yang diperoleh, namun hakikatnya setiap tokoh itu mempunyai perjalanan pahit dan manis untuk berjaya hingga ke tahap tersebut. Dalam konteks ini, mencipta kandungan demi mendapatkan kandungan yang baik, berkualiti dan memberikan impak kepada warga maya perlu mempunyai aturan yang signifikan. Menurut Mohd. Faizal Zakaria, Ketua Pegawai Eksekutif Make It Bigger Resources, pemasaran melalui penerbitan kandungan merupakan konsep terkini dalam pemasaran yang semakin dominan tanpa mengira negara.

“Pada zaman dahulu, masyarakat boleh bergantung kepada media massa memandangkan medium tersebut mempunyai kekuatan untuk menyampaikan maklumat kepada pembaca dalam tempoh yang singkat. Kemunculan platform media sosial dikatakan mengambil alih fungsi media massa sedia ada.

Mohd. Faizal Zakaria, Ketua Pegawai Eksekutif Make It Bigger Resources.

Faizal berkata, kini, secara tiba-tiba banyak pihak menjadi sensasi di media sosial dengan identiti tersendiri hasil daripada menerbitkan kandungan, seterusnya menggunakan platform tersebut sebagai kerjaya tetap. Pada dasarnya, penghasilan sesuatu kandungan lazimnya diguna pakai dalam bentuk tulisan blog, video, infografik, audio siar (podcast) ataupun media sosial.

Kebanyakannya beranggapan bahawa menerbitkan kandungan merupakan sesuatu perkara yang mudah. Namun begitu, bagi menerbitkan kandungan yang berkualiti dan strategik, pada hakikatnya memerlukan kemahiran dan kepakaran dalam bidang tertentu. Tambahan pula, kebanyakan organisasi hanya memfokuskan pada teras perniagaan. Menyentuh kesedaran tentang peri pentingnya kualiti kandungan dalam media sosial, Mohd. Faizal bertanggungjawab untuk memainkan peranan sebagai konsultan dan penyedia perkhidmatan menerbitkan sesuatu kandungan.

Kandungan bukan hanya terhad pada penulisan, sebaliknya melibatkan penggunaan peralatan seperti kamera, video, sistem bunyi dan pencahayaan, penyuntingan dan kemudiannya disiarkan di platform media tertentu. Melalui pemerhatian Mohd. Faizal, kebanyakan syarikat berhadapan dengan dilema untuk melantik konsultan atau menggaji pekerja berikutan beberapa faktor, termasuklah isu kos.

“Pada hakikatnya, 80 peratus syarikat multinasional melantik konsultan luar untuk menyediakan perkhidmatan kandungan berikutan tidak mahu menanggung kos pekerja dan berhadapan dengan isu kecekapan. Idea kreatif sentiasa ada hadnya. Oleh itu, syarikat lazimnya tidak mahu menanggung kos untuk melantik banyak kru penerbitan kandungan,” katanya.

Dalam menerbitkan kandungan yang berimpak tinggi, seseorang itu mahupun syarikat memerlukan kepakaran dalam penguasaan bahasa, manakala pengetahuan dalam menganalisis data, khususnya berkaitan dengan angka menjadi suatu hal yang sangat imperatif.

“Saya sering menasihatkan klien untuk memberikan tumpuan kepada teras perniagaan masing-masing. Sebagai contoh, jika mereka menghasilkan pastri, perniagaan itu perlulah fokus pada penghasilan dan pemasaran pastri. Kandungan kreatif pula perlu diberikan tanggungjawab kepada konsultan,” kongsinya lagi.

Mohd. Faizal akan memastikan setiap kerja yang diamanahkan kepada syarikatnya berjaya disiapkan mengikut tempoh akhir.

Hal ini dikatakan demikian kerana penghasilan kandungan kreatif ini memakan banyak masa, sedangkan usahawan sebenarnya lebih bertanggungjawab menghasilkan lebih banyak peluang untuk perniagaan masing-masing.

Dalam berkongsi aspirasi, Mohd. Faizal menjelaskan negara maju kini menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan kandungan dengan ketepatan hampir 80 peratus tepat berdasarkan kecenderungan pengguna. Hal ini sedikit sebanyak menjadikan penerbitan kandungan menjadi lebih mudah dan bermakna kepada banyak penulis, untuk mencari dan mendalami ilmu dan kemahiran baharu. Setiap usahawan atau penggiat industri perlu mencari teknik kemahiran tinggi yang paling sukar ditandingi dalam sesuatu perkara.

Teknologi kini menjadikan sesiapapun boleh menjadi jurufoto, juruvideo mahupun selebriti dalam sekelip mata. Menyentuh aspek strategi kandungan, perniagaan disyorkan untuk merancang kandungan berjenama dengan memasukkan elemen yang tertancap dalam minda separuh sedar kerana hal tersebut lebih berkekalan. Kandungan yang bagus mesti kelihatan dengan emosi dan bermain-main dengan perasaan. Cerita yang paling dikenang sudah tentu suatu bingkisan yang diakhiri dengan linangan air mata sedih, gembira atau kelucuan.

“Oleh sebab itu, saya sering berpesan kepada penulis, tulislah dari hati kerana tulisan hati sentiasa mengetuk pintu hati yang lain. Tidak semua kandungan perlu bermain emosi kerana kandungan kreatif untuk agensi kerajaan harus disampaikan dalam satu nada tertentu untuk menyatakan sesuatu yang serius.

“Bukan mudah memuaskan hati klien. Kadang-kadang menjadi buntu untuk mendapatkan idea yang segar. Ada ketikanya, kami mempunyai idea yang bagus, tetapi tidak dapat dilaksanakan berikutan beberapa halangan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Isu bajet dan kekangan masa juga memainkan peranan,” jelas beliau.

Nuansa selera pengguna sentiasa berubah-ubah, maka penceritaan juga harus cepat beradaptasi dengan keperluan semasa. Menurut Mohd. Faizal, tidak ada satu formula khusus dalam penghasilan naskhah kandungan untuk media sosial, namun menerapkan pendekatan “cuba dan baiki” sehingga mendapat hasil terbaik. Hindari daripada meniru pendekatan orang lain. Fahami konsep dan amalkan konsep mencuba dan membuat penambahbaikan tersebut.

Kakitangan Make It Bigger menghasilkan pelbagai video yang kreatif dan berkualiti tinggi.

Sehubungan dengan itu, sesuatu penghasilan kandungan kreatif yang menggunakan media sosial perlulah mempunyai konsep tersendiri bersifat santai dan memadai diterbitkan dalam satu sela masa yang tetap.

“Saya pernah berhadapan dengan permintaan klien yang permintaannya ialah tiga kandungan disiarkan pada setiap hari di saluran media sosial. Bayangkan, setiap hari perlu melihat mesej atau cerita yang lebih kurang sama. Sudah tentu pembaca bukan sahaja berasa jelak, malah menunjukkan penyampaian kandungan itu tidak berkesan.

Oleh hal yang demikian, menulis artikel dalam laman blog dan berkongsi karya penulisan dalam media sosial merupakan satu daripada inisiatif yang berkesan. Artikel tersebut tidak akan terpadam melainkan pemilik akaun tersebut bertindak membuang kandungan itu.

Memiliki kepercayaan merupakan langkah pertama untuk menjalin hubungan perniagaan. Sebagai usahawan, kita tidak boleh meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada pelanggan baharu. Bermula dengan memperoleh kontrak kecil sebelum beransur-ansur menjadi lebih besar sebenarnya merupakan titik permulaan yang baik untuk membina kepercayaan klien terhadap keupayaan perniagaan kita.

Bagi memastikan perkhidmatan terbaik, Faizal turut melabur dengan membeli peralatan terkini, termasuklah perisian yang berupaya meningkatkan produktiviti. Seseorang itu akan sentiasa terpesona dengan visual yang dilihat. Bagi menghasilkan visual yang bermutu, mahu tidak mahu bukan sahaja memerlukan idea yang hebat, bahkan perlu memiliki peralatan bersesuaian.

“Kami sentiasa melakukan penambahbaikan dari segi inventori peralatan yang sesuai dengan kemampuan dan permintaan pelanggan. Kami juga sudah beralih kepada teknologi network device interface (NDI) untuk menyiarkan program secara langsung menerusi Internet.

“Pelanggan terbesar kami datangnya dari agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Visual dan imej yang dihasilkan lazimnya untuk kegunaan korporat dan pasaran antarabangsa dan hal ini menjadi faktor utama mengapa Make It Bigger sentiasa mengemaskinikan peralatan dan perisian agar inventori sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya.

Melihat hala tuju syarikat dalam tempoh terdekat, pengasas Make It Bigger dalam proses memindahkan operasi ke premis yang lebih besar bagi menampung kapasiti pekerja. Susulan daripada itu, pengasas ini merancang untuk menambah kapasiti pekerja bagi meningkatkan produktiviti melalui pengambilan secara Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) anjuran Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). Syarikat ini turut berharap agar dapat mengoptimumkan kos tenaga kerja dan pada masa yang sama dapat memindahkan kemahiran dan ilmu kepada golongan muda.

Melalui program SLDN tersebut, Mohd. Faizal berharap Make It Bigger akan terus digerakkan oleh tenaga dan kreativiti generasi terkini sesuai dengan motonya, “Penyelesaian Masa Hadapan Bermula Hari Ini”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.