Oleh John Cham
14 Oktober 2021, 14:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pengangguran merupakan suatu masalah ekonomi yang perlu ditangani oleh setiap  negara di dunia. Meskipun Malaysia sebuah negara yang sedang membangun, namun tidak lari daripada menghadapi masalah pengangguran. Hal ini berkaitan rapat dengan  kemiskinan yang kian menular bukan sahaja di kawasan luar bandar, malah berlaku di kawasan bandar.

Ketika berucap dalam sidang Dewan Rakyat pada penghujung bulan September 2021, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia mengatakan bahawa sebanyak 580 000 isi rumah daripada golongan berpendapatan sederhana (M40) sudah tergelincir ke dalam kategori B40, iaitu sebanyak 40 peratus kerana kemerosotan ekonomi yang disebabkan oleh penularan pandemik COVID-19.

Menurut beliau lagi, sebanyak 20 peratus daripada 40 peratus kumpulan M40 tersebut, yang sebelum ini menerima pendapatan bulanan antara RM4850 hingga RM10 959. Namun begitu, situasi berubah apabila pandemik berlaku sehinggakan kumpulan B40 mengalami kerugian pendapatan yang mendorong kepada kadar kemiskinan mutlak di Malaysia meningkat kepada 8.4 peratus pada tahun 2020 berbanding dengan 5.6 peratus pada tahun 2019.

Seterusnya, dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia didapati bahawa kebanyakan siswazah kini terpaksa merebut peluang pekerjaan yang disediakan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan diploma kerana kekurangan peluang pekerjaan. Menurut laporan itu, kerajaan perlu bertindak segera menangani isu pekerjaan yang berlaku ketika ini, lebih-lebih lagi apabila mereka merebut untuk mendapatkan pekerjaan melebihi daripada kelayakan yang sepatutnya. Sebagai contoh, pekerjaan yang dikhaskan untuk pelajar lepasan SPM atau diploma terpaksa berebut dengan graduan lain untuk mendapatkan pekerjaan.

Dalam konteks ini, keadaan sebeginilah yang menyebabkan golongan lepasan SPM dan diploma terpaksa bersaing dengan graduan ijazah untuk mendapatkan pekerjaan. Impak kerajaan bawah kelayakan ini adalah besar memandangkan hal ini menyentuh kebolehpasaran golongan B40 yang berpendidikan sederhana dan rendah untuk mendapatkan pekerjaan.

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, pada Julai 2021, menunjukkan seramai 778 200 orang penduduk Malaysia telah kehilangan pekerjaan atau masih menganggur. Hal ini dikatakan demikian bilangan pengangguran telah meningkat 4.8 peratus dari bulan Jun pada tahun ini. Kadar pengangguran pada Julai pula adalah yang tertinggi untuk tahun ini walaupun kerajaan memperuntukkan RM530 bilion dalam lapan Pakej Rangsangan Ekonomi sebelum ini.

Seterusnya, pada tahun 2020, direkodkan jumlah siswazah yang bersedia untuk masuk ke pasaran kerja ialah sebanyak 260 000 orang. Walau bagaimanapun, jumlah pekerjaan mengikut kelayakan yang tersedia untuk siswazah dalam negara pada tahun 2020 hanya 73 000 pekerjaan merosot kepada 31 000 dari tahun sebelumnya. Pada tahun 2020, sebanyak 1.89 juta lepasan siswazah bekerja dalam sektor separa mahir dan tanpa kemahiran.

Hal ini merangkumi 37.4 peratus jumlah pekerja yang mempunyai kelayakan lepasan ijazah dan hal ini juga bermakna pada tahun 2020, sebanyak 1.89 juta pekerjaan yang sepatutnya dikhaskan untuk lepasan SPM dan diploma telah diisi oleh pekerja siswazah yang bekerja di bawah kelayakan. Situasi ini jelas menunjukkan bahawa terdapat jurang ketidakpadanan yang besar dalam pasaran kerja di negara ini.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, guna tenaga tak penuh (underemployment) ini membawa kepada jurang kemiskinan yang lebih besar kepada golongan berpendapatan rendah B40.

Pada pandangan penulis, cara yang terbaik untuk merangsangkan ekonomi Malaysia pasca COVID-19 dengan membuka lebih banyak sektor industri seperti pelancongan di Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Pangkor dan Pulau Redang. Menurut Kementerian Pelancongan Malaysia, sejak Pulau Langkawi dibuka kepada pelancong tempatan pada pertengahan September 2021, pendapatan bersih daripada sektor ini ialah RM15 juta. Hal ini adalah susulan daripada rakyat Kedah yang berjaya ditempatkan pada Fasa 3 apabila lebih daripada 80 peratus penduduk telah divaksin.

Dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ataupun penjarakan fizikal yang ketat, maka sudah tentu lebih ramai rakyat Malaysia akan dapat merentas ke negeri lain untuk melancong atau melawat sanak-saudara mereka.

Langkah seterusnya ialah menggalakkan lebih ramai pelabur dari Asia Timur, seperti Rusia, Turki, Azerbaijan ataupun Tukmenistan untuk melabur di sini. Dalam pada itu, kerajaan juga boleh melibatkan universiti tempatan dan swasta dengan sektor perindustrian, seperti sains dan teknologi, penterjemahan buku asing kepada pelbagai bahasa yang boleh melahirkan ramai penterjemah atau penyunting graduan universiti, seperti dari Institut Terjemahan Negara. Institut itu juga perlu memainkan peranan dalam usaha menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan lulusan seperti penterjemahan bahasa, interpretasi dan penyuntingan.

Konglomerat seperti Sunway Industries, Berjaya Corporation dan Proton juga perlu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan dalam bidang teknologi maklumat, kejuruteraan dan pembinaan, walaupun gaji agak rendah daripada sebelumnya.

Berdasarkan kajian, terdapat kira-kira 30 000 pekerja awam yang masih enggan divaksin bagi menangani pandemik COVID-19. Maka demikian, penulis mencadangkan agar mereka digantikan dengan graduan yang sedang menganggur yang layak untuk bekerja sementara waktu. Selain itu, bagi menggalakkan graduan lebih berdikari, mereka disarankan untuk menceburi dalam bidang lain seperti pengusahaan ladang, menanam buah-buahan ataupun sayur-sayuran, walaupun kelayakan bidang mereka berbeza. Mereka perlulah bersedia menghadapi cabaran baharu dan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan semata-mata.

Pengangguran dalam kalangan belia memberikan cabaran untuk Malaysia. Masalah struktur yang diperoleh daripada kekurangan kualiti pendidikan, ketidaksesuaian kemahiran dan pekerjaan berkualiti rendah menekan pasaran buruh  sejak tahun kebelakangan ini. Penyertaan belia dalam pasaran buruh berumur antara 15 hingga 24 tahun, bertambah dengan tetap sejak dekad yang lepas.

Sementara menunjukkan trend yang positif pada keseluruhannya, beberapa perkembangan tertentu patut diberikan perhatian. Remaja yang berusia antara 15 hingga 19 tahun, besar kemungkinan memilih pekerjaan lebih daripada pelajaran lepasan sekolah menengah di Sabah. Walau bagaimanapun, pengangguran sedang meningkat dalam kalangan belia 20 hingga 24 tahun, khususnya di kawasan perbandaran dan masih kekal tinggi dalam kalangan belia berusia 15 hingga 19 tahun.

Pengangguran lelaki begitu jelas di Sabah, sementara pengangguran dalam kalangan perempuan adalah tinggi di kawasan bandar dan di luar bandar. Yang lebih mengejutkan, pengangguran tersebut adalah dalam kalangan belia kaum India.

Akibat COVID-19, rakyat Malaysia yang masih muda sudah terdedah dengan masalah kehilangan pekerjaan dalam menghadapi pertumbuhan kerja yang mereka tidak mudah dilepaskan. Hal ini ditambah pula dengan fokus pada pengekalan pekerja yang membawa kepada kekangan mendapat pekerja baharu, serta pertambahan perkongsian mereka yang bekerja sendiri dengan sumber yang kurang bagi meresap kemerosotan.

Dalam artikel dari Emir Research bertajuk, Daripada Insentif Pengawal Seliaan kepada Insentif Fizikal (berkaitan dengan pendapatan kerajaan, seperti cukai) pada 3 Ogos 2021, kerajaan digesa untuk menambah suntikan fizikal terus daripada RM83 bilion kepada RM150 bilion. Penambahan ini diperlukan bagi menggalakkan ekonomi dan menolak ke hadapan perangkaan pertumbuhan. Hal ini sekurang-kurangnya dapat menangani cabaran pengangguran yang mungkin berbentuk struktur ataupun terbina dalam yakni yang melibatkan graduan dan pengangguran belia.

Undang-undang Okun oleh pakar ekonomi Arthur Okun mengatakan bahawa bagi setiap satu peratus kejatuhan dalam pekerjaan, terdapat juga kejatuhan sepadan sebanyak dua peratus dalam pertumbuhan hasil domestik kasar. Pada asasnya, hal ini berkaitan rapat dengan teori ekonomi standard. Itulah perbezaan antara pengeluaran sebenar dengan pengeluaran berpotensi. Pekerjaan ialah aspek integrasi ekonomi makro dan asas ekonomi. Perkara ini penting bagi menentukan pekerjaan sepenuhnya dalam negara tidak statik, namun mampu bergerak ke hadapan dalam mencapai potensi sebuah negara yang maju dan negara yang berpendapatan tinggi seperti yang digariskan dalam perancangan terkini dan yang lepas, rangka tindakan dan rangka kerja strategik.

Kini  jangkaan Hasil Domestik Kasar Negara Malaysia tahun 2021 terpaksa diturunkan daripada 7.5 peratus kepada lima peratus. Dalam hal ini, negara banyak bergantung kepada eksport sektor pengeluaran bagi memacu pertumbuhan yang mengatasi RM1 trilion bagi suku pertama tahun 2021.

Pendapatan negara banyak diperoleh daripada hasil petroleum, hasilan petrokimia, hasilan elektrik terutamanya litaran integrasi elektronik yang digunakan  dalam telefon bimbit, automatif dan hasilan getah terutamanya sarung tangan pembedahan yang berasaskan nitril.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi