11 Oktober 2021, 14:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Memang tidak dapat dinafikan, dalam mana-mana buku ekonomi di dunia pasti menggariskan empat elemen sebagai faktor pengeluaran dan sumber ekonomi, iaitu tanah, buruh, modal, dan keusahawanan. Namun begitu, laporan kertas kerja bertajuk “Putting Integrity into Finance: A Purely Positive Approach” oleh dua orang penyelidik terkenal antarabangsa, Werner Erhardst dan Micheal C. Jensen, telah memberikan anjakan paradigma kepada teori asas ekonomi ini dalam konteks kewangan.

Menurut laporan tersebut, integriti atau kejujuran, diunjurkan sebagai elemen tambahan yang sama pentingnya seperti faktor-faktor pengeluaran dan sumber ekonomi lain. Integriti dilihat mempunyai implikasi signifikan ke atas produktiviti dan kualiti hidup, iaitu ketirisan integriti pasti akan mengurangkan impak kuasa kewangan.

Memang benar bahawa skop integriti itu merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Nilai integriti melangkaui perbezaan agama dan budaya. Pergilah ke pelosok dunia mana pun, pastinya tiada sesiapa yang menafikan kepentingan integriti dalam kehidupan. Walau bagaimanapun, integriti dalam kewangan dilihat sebagai antara aspek integriti yang paling mencabar. Buktinya, statistik tangkapan jenayah rasuah di Malaysia telah mencatatkan peningkatan sebanyak 11.63 peratus dari tahun 2018 ke 2020. Jenayah tersebut merangkumi kesalahan menerima dan memberi rasuah, tuntutan palsu, salah guna kedudukan, pengubahan wang haram, dan lain-lain. Susulan daripada itu, jelaslah bahawa nilai integriti dalam kewangan perlu diambil perhatian oleh setiap individu bagi memerangi endemik rasuah dalam kalangan masyarakat.

Yang menariknya, cabaran integriti dalam kewangan ini juga melangkaui status sosioekonomi individu sama ada miskin atau kaya, berpendidikan rendah atau tinggi yang menyaksikan setiap individu pasti akan berdepan dengan isu yang menguji integriti dalam menguruskan hal-hal kewangan. Godaan wang dan kekayaan harta benda sememangnya sukar ditepis, menjadikan garis pemisah antara benar dengan salah itu menjadi kabur, serta menidakkan perbezaan antara yang hak dan batil. Dari lensa mikro, integriti merupakan elemen yang sangat kritikal dalam membentuk nilai peribadi. Integriti peribadi inilah secara kolektifnya dapat mendukung integriti sesebuah sistem pada tahap yang lebih makro. Tanpa integriti, sesebuah sistem itu tidak dapat berfungsi sebagaimana yang sepatutnya.

Persoalannya, bagaimanakah nilai integriti ini dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat agar menjadi satu budaya yang seterusnya menjadi identiti negara? Setakat ini, jelas Malaysia perlu memperbaik imej negara, apatah lagi dengan kedudukan terkini di tangga ke-57 pada tahun 2020 berbanding dengan tangga ke-51 pada tahun sebelumnya dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

 Secara asasnya, nilai integriti harus dipupuk dari dalam institusi kekeluargaan itu sendiri. Pembangunan peribadi dalam persekitaran kekeluargaan dilihat sebagai jalan yang lebih efektif berbanding dengan pendidikan formal. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam lingkungan keluarga, penyampaian adalah lebih dekat dan mesra, sekali gus memberikan impak yang lebih mendalam terhadap individu. Walau bagaimanapun, penerapan nilai integriti secara formal di institusi pendidikan akan menjadikannya lebih menyeluruh. Bahkan, pelbagai kajian kes boleh dijadikan rujukan dan diterapkan dalam rangka perancangan pendidikan.

Integriti merupakan elemen yang kritikal dalam urusan berkaitan dengan kewangan. Jika ditanya berkaitan dengan harga sebuah integriti, jawapannya tidak ternilai harganya waima dijanjikan jutaan ringgit. Integriti harus tetap dipegang utuh kerana itulah tuntutan moral dan agama yang tidak seharusnya dikompromikan.


Dr. Nurul Afidah Mohamad Yusof, Penolong Profesor di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Kewangan, Universiti Tunku Abdul Rahman.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.