6 Oktober 2021, 20:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR- Pelaburan berkualiti tinggi mampu menjadikan rakyat Malaysia menikmati taraf hidup yang lebih tinggi dan membolehkan rakyat mempunyai simpanan yang lebih banyak, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YB Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Tiada jalan pintas dan kita tidak boleh hanya menambah semula menggunakan sumber kerajaan. Sumber itu melibatkan pekerjaan yang berkualiti,” jelas beliau dalam satu webinar bertajuk “Malaysia Economic Direction – What to Expect Next” anjuran UOB Kay Hian Wealth Advisors pada Selasa.

Beliau berpandangan demikian semasa menjawab soalan berkaitan dengan cara untuk menangani kadar simpanan rakyat Malaysia yang rendah, terutamanya melibatkan golongan yang telah mengeluarkan wang daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka semasa pandemik COVID-19.

“Pelaburan akan memainkan peranan yang penting, bukan hanya kepada pelabur asing, malah pada peringkat  domestik. Kita perlu lebih agresif dalam usaha menarik pelaburan berkualiti,” jelas beliau dengan merujuk kejayaan sebelum ini di negeri seperti Pulau Pinang, Johor, dan Sarawak apabila pelbagai sektor seperti elektrik dan elektronik serta minyak dan gas yang telah berkembang pesat.

“Secara ringkasnya,kita perlu meningkatkan kemahiran, membawa masuk pelaburan berkualiti, melatih lebih banyak pekerja selain perlu keluar daripada operasi bergaji rendah dan hal ini juga mempunyai kaitan dengan gaji minimum,” jelas beliau.

Pertumbuhan pendapatan menjadi faktor penting untuk memastikan Malaysia dapat mencapai 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera berbanding dengan 17.2 peratus pada tahun 2019. Tambah beliau, hal itu dapat dilakukan dengan menyimpan melalui institusi Bumiputera seperti Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Lembaga Tabung Haji serta institusi pembangunan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Untuk berbuat demikian,kita perlu meningkatkan pendapatan, pengetahuan dan kemahiran supaya mereka dapat menyimpan lebih banyak dalam dana seperti ASB (Amanah Saham Bumiputera) atau Tabung Haji,” jelas beliau.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.