6 Oktober 2021, 15:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Sebagai acara cukai pendidikan tahunan, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) akan mengadakan Seminar Percukaian Kebangsaan (SPK) 2021 secara dalam talian pada 9 hingga 16 November 2021.

LHDNM dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan bahawa penganjuran seminar itu merupakan platform untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan pematuhan cukai dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, seminar ini juga bertujuan untuk menyampaikan maklumat terkini berkaitan dengan sebarang pindaan dalam Akta Cukai Pendapatan 1967 dan akta-akta berkaitan yang dibentangkan melalui Belanjawan 2022.

“SPK 2021 akan menampilkan barisan para penceramah yang terdiri daripada pegawai kanan LHDNM yang mempunyai pengalaman tinggi dalam memerihalkan percukaian negara.”

“Seminar ini akan mengupas topik berkaitan dengan ‘Cadangan Belanjawan 2022’ dan ‘Percukaian e-Dagang di Malaysia’ melalui tiga sesi, iaitu pada 9 November 2021, 11 November 2021 dan 16 November 2021.”

Para peserta boleh membuat pendaftaran secara dalam talian mulai 18 Oktober hingga 16 November 2021 menerusi portal rasmi LHDNM.

LHDNM turut menyarankan pelibatan orang ramai untuk menyertai seminar ini. Hal ini demikian kerana seminar ini berupaya memberikan kesedaran bahawa melaporkan dan membayar cukai merupakan tanggungjawab warganegara demi kemajuan serta kemakmuran negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.