5 Oktober 2021, 13:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR- Hari ini bermulanya sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat oleh kementerian-kementerian selepas perancangan negara untuk tempoh 2021 hingga 2025 itu dibahaskan di Parlimen.

Sebanyak 106 Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian pada sesi perbahasan RMK12 selepas dibentangkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada 27 September lalu.

Antara isu yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Parlimen dalam perbahasan selama empat hari bermula pada 28 September itu termasuklah kesihatan, vaksin      COVID-19, pembangunan Sabah dan Sarawak, kemiskinan, impak pascaCOVID-19 dan pengurusan bekalan air negara.

Berdasarkan takwim Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 2021 di portal Parlimen Malaysia, sesi penggulungan oleh kementerian dijadualkan berlangsung sehingga Khamis ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, persidangan pada hari ini dimulakan dengan sesi Waktu Pertanyaan Menteri melibatkan soalan untuk YAB Perdana Menteri berkaitan dengan sekuriti tenaga (energy security) di negara ini ketika berlaku krisis tenaga global dan hala tuju untuk meningkatkan sekuriti tenaga negara.

Dua lagi soalan untuk sesi berkenaan adalah untuk Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkaitan dengan cadangan kementerian itu menetapkan paras siling komisen harga jualan bilik melalui OTA (Online Travel Agent) dan Menteri Perpaduan Negara berkaitan dengan sejauh mana Tabika Perpaduan memainkan peranan bagi memupuk nilai-nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Bagi waktu pertanyaan jawab lisan pula, YB Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) meminta Menteri Pengajian Tinggi YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menyatakan tahap kebolehpasaran graduan semasa pandemik COVID-19 dan langkah bagi menyediakan graduan yang berdaya saing di pasaran pekerjaan.

Turut ditanya adalah soalan berkaitan dengan keberkesanan modul sesi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) yang diajukan oleh YB Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) kepada Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk  Dr. Mohd Radzi Md. Jidin.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi