28 September 2021, 20:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Eksport Malaysia menunjukkan peningkatan tahun ke tahun 12 bulan berturut-turut sejak September 2020.

Eksport Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan positif berbanding dengan import, iaitu berkembang 18.4 peratus kepada RM95.6 bilion dari tahun ke tahun.

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa eksport Malaysia pada Ogos 2021 mencatat pertumbuhan dua digit 18.4 peratus dari tahun ke tahun, disokong oleh eksport domestik dan eksport semula. Hal ini menunjukkan peningkatan tahun ke tahun 12 bulan berturut-turut sejak September 2020.

“Eksport domestik berjumlah RM79.1 bilion turut menyumbang 82.7 peratus kepada jumlah eksport, iaitu berlaku peningkatan sebanyak 18.7 peratus. Manakala eksport semula pula menyumbang peratusan dengan nilai RM16.5 bilion, meningkat 16.7 peratus tahun ke tahun,” ujar beliau.

Selaras dengan pertumbuhan tahunan, sejumlah 159 daripada 255 kumpulan barangan eksport menunjukkan peningkatan yang positif berbanding dengan tahun sebelumnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia turut melaporkan bahawa peningkatan eksport disumbangkan oleh eksport yang lebih tinggi ke negara-negara seperti Singapura (RM2.4 bilion), Jepun (RM1.8 bilion), Amerika Syarikat (RM1.2 bilion), Indonesia (RM1.1 bilion), Hong Kong (RM1.0 bilion), Australia (RM825.8 juta) dan China (RM814.8 juta).

“Dari segi kumpulan produk pula, peningkatan eksport didorong oleh keluaran petroleum (RM2.6 bilion); barangan elektrik dan elektronik (RM2.2 bilion); kimia dan bahan kimia (RM2.2 bilion); barangan perkilangan logam (RM1.9 bilion); gas asli cecair (RM1.9 bilion); minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasakan minyak kelapa sawit (RM1.4 bilion) dan barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (RM1.1 bilion),” ujar beliau dalam sidang media hari ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.