28 September 2021, 21:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Berkaitan dengan laporan dalam satu portal yang menyatakan bahawa empat juta data yang bocor diperoleh daripada laman sesawang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) melalui Application Programming Interfaces (API) yang dibuat untuk myIDENTITY di bawah seliaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah sama sekali tidak benar.

Pada hakikatnya, LHDNM hanya merupakan pengguna dan bukannya pemilik kepada sistem myIDENTITY tersebut.

Bagi terus menyakinkan pelanggan, khususnya pembayar cukai terhadap keselamatan data dan maklumat mereka, siasatan dalaman telah dijalankan dan membuktikan bahawa tiada berlaku sebarang kebocoran data dan maklumat seperti yang didakwa.

LHDNM amat kesal dengan laporan dan dakwaan berkenaan kerana perkara tersebut boleh menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap pengurusan dan pentadbiran LHDNM.

“Oleh itu, LHDNM sedang bekerjasama dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melihat semua kemungkinan berkenaan dengan dakwaan ini.

Dalam pada itu, LHDNM turut menegaskan bahawa orang ramai perlu lebih berhati-hati dengan perkara yang tular seumpama ini. Hal ini berkemungkinan besar dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan niat untuk kepentingan tertentu serta mengelirukan masyarakat.

Melihat akan kesan kejadian ini, LHDNM memberikan jaminan bahawa semua data dan maklumat yang berada dalam simpanan LHDNM adalah selamat dan sentiasa dilindungi dengan teknologi keselamatan data yang diiktiraf,” jelas LHDN menerusi kenyataan media pada hari ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.