Oleh Ad Aman
27 September 2021, 21:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan menyenaraikan tujuh projek infrastruktur utama yang akan dilaksana dan disempurnakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Antara projek yang diusahakan, termasuklah Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa Satu yang menghubungkan hala Rawang ke Salak Selatan dijangka siap pada tahun 2022; Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru, iaitu jajaran akhir landasan berkembar elektrik dari Padang Besar, Perlis ke Johor Bahru, Johor yang dijadualkan siap pada tahun 2023.

Selain itu, pelaksanaan projek penerusan pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan tarikh jangkaan siap pada tahun 2026; Projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan stesen Bukit Chagar, Johor Bahru dengan stesen Woodlands North di Singapura yang akan mula dibina pada hujung tahun 2021.

Turut dilaksanakan projek Lebuhraya Pantai Barat yang melibatkan negeri Selangor dan Perak dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024; projek Central Spine Road dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai, Kelantan dan Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai yang masing-masing dijangka siap pada tahun 2025.

Dalam pada itu, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri, ketika membentangkan Usul Mengenai RMK12 di Dewan Rakyat pada hari ini mengumumkan kerajaan bakal mewujudkan model baharu bagi pembiayaan projek infrastruktur yang melibatkan perkongsian awam dan swasta.

Jelasnya, di bawah model yang dikenali sebagai Perkongsian Awam Swasta (PPP) 3.0 itu, model pelaksanaan projek tidak akan melibatkan komitmen kewangan kerajaan dan menggunakan kaedah Request for Proposal (RFP).

“Pelaksanaan projek-projek di bawah model baharu ini dijangka dapat diumumkan pada pertengahan tahun 2022.

“Jawatankuasa khas PPP yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara akan ditubuhkan bagi membolehkan perundingan projek PPP dapat diselesaikan dalam tempoh setahun.

“Kerajaan bakal menggunakan model baharu untuk tujuan pembiayaan projek infrastruktur di masa akan datang,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.