27 September 2021, 22:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi – Pembukaan Langkawi sebagai destinasi perintis bagi program gelembung pelancongan (Travel Bubble) kini mendapat perhatian rakyat tempatan untuk kembali bergerak dalam kebiasaan baharu setelah lama berada di rumah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Encik Mahmuzi Osman, Pengurus Kompleks Haji Ismail Group (HiG).

Menurut Encik Mahmuzi Osman, Pengurus Kompleks Haji Ismail Group (HiG), semasa pelaksanaan PKP pada Mac tahun lepas, kebanyakan rakyat tempatan terutamanya pengusaha dan peniaga amat terkesan apabila kedai tidak boleh beroperasi dan hanya sektor makanan dibenarkan untuk berniaga.

“Kami amat bersyukur apabila kerajaan, khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) mengumumkan pembukaan semula Pulau Langkawi kepada pelancongan. Gelembung pelancongan ini banyak membantu peniaga dan pengusaha di sekitar Langkawi bagi menghidupkan semula perniagaan mereka dan menjana pendapatan.”

“Sejak 16 September yang lalu, perniagaan kami dibenarkan beroperasi sepenuhnya seperti biasa dan pelancong mula masuk ke Langkawi. Dalam tempoh seminggu ini, pelancong yang masuk ke dalam Kompleks HiG sangat memberangsangkan,” kongsi Encik Mahmuzi ketika ditemu ramah oleh sidang editor Dewan Ekonomi.

Tambah beliau, HiG menyambut baik hasrat kerajaan untuk merancakkan kembali ekonomi tempatan, di samping memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dengan membenarkan hanya 50 peratus pengunjung masuk ke dalam premis pada satu-satu masa.

Sebelum itu, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri MOTAC menjelaskan bahawa pembukaan sektor pelancong domestik di Pulau Langkawi bersempena Hari Malaysia pada 16 September 2021 adalah sebagai tanda keprihatinan kerajaan kepada rakyat Malaysia yang telah mencapai tahap imunisasi bagi pemberian vaksinasi, di samping merancakkan semula industri pelancongan selepas lebih setahun terkesan akibat pandemik COVID-19.

Kedai produk ubat-ubatan dan herba di Kompleks HiG.

Sementara itu, Megat Sharifuddin, seorang peniaga produk ubat-ubatan dan herba berpendapat bahawa gelembung pelancongan yang dilaksanakan ini jelas memberikan peluang kepada peniaga dan pekerja untuk kembali aktif menjalani aktiviti perniagaan dan sekali gus dapat merangsang ekonomi tempatan di Langkawi.

Kedai makan kembali beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan.

Zarina Kasim, 43 tahun, seorang ibu tunggal yang mengusahakan sebuah kedai makan turut menyatakan bahawa kedatangan jumlah pelancong ke Langkawi yang kian meningkat banyak membantu beliau untuk meneruskan kelangsungan hidup dan menyara keluarga, terutamanya dalam perbelanjaan anak-anak.

“Ketika kedai tidak dapat dibuka, kami hanya bergantung pada sumbangan pakej bantuan daripada kerajaan, selain daripada duit simpanan dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” kongsi pengusaha kedai makan itu.

Seorang pemandu Grab yang dikenali sebagai Aziz pula menjelaskan bahawa jumlah penumpang yang menempah perkhidmatan e-panggilan turut meningkat sejak kerajaan memperkenalkan Langkawi sebagai perintis bagi program gelembung pelancongan.

Mengulas lebih lanjut berkaitan dengan pembukaan gelembung pelancongan ini, rata-rata rakyat tempatan, khususnya pekerja dan peniaga di Langkawi memberikan maklum balas yang positif. Hal ini secara tidak langsung dapat menyokong kerajaan dalam usaha merancang yang lebih banyak pembukaan gelembung pelancongan domestik pada masa akan datang.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi