24 September 2021, 22:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bagi separuh akhir tahun pertama 2021, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM34.05 bilion sehingga 30 Jun 2021 (1H 2021).

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjelaskan bahawa sebanyak 25 peratus peningkatan pada pendapatan pelaburan, iaitu RM6.79 bilion berbanding dengan RM27.26 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2020.

Jumlah pendapatan pelaburan kasar untuk suku tahun kedua (S2 2021) ialah RM14.77 bilion, RM0.35 bilion lebih rendah daripada RM15.12 bilion yang dicatatkan pada suku tahun yang sama tahun lalu. Ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan bagi S2 2021, iaitu RM7.89 bilion daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar.

Prestasi kukuh yang dicapai oleh KWSP pada 1H 2021 ini merupakan inisiatif daripada pemulihan yang progresif di pasaran ekuiti dan kebanyakan kelas aset yang lain, tatkala pasaran global mengalami kebangkitan semula.

“Pelaksanaan program vaksin COVID-19 sedang giat dijalankan dan pembukaan semula sektor ekonomi telah meningkatkan prestasi ekuiti di pasaran maju.

“Walau bagaimanapun, prestasi ekuiti di pasaran baru muncul adalah lebih perlahan berikutan peningkatan jangkitan COVID-19 di beberapa negeri, dan disusuli pula dengan kejatuhan harga saham yang ketara akibat tindakan pihak berkuasa China yang mengetatkan peraturan terhadap sesetengah sektor.

Sebagai polisi untuk mengekalkan portfolio yang sihat, KWSP mengamalkan turun nilai kos terhadap ekuiti tersenarai. Kepelbagaian pelaburan KWSP dalam pelbagai kelas aset, pasaran dan mata wang yang berbeza dapat memberikan kestabilan pendapatan dan menyumbang nilai tambah kepada pulangan keseluruhan.

Setakat akhir Jun 2021, aset pelaburan KWSP ialah RM989.14 bilion dan 37 peratus daripadanya merupakan pelaburan luar negara. Pada S2 2021, pelaburan luar negara dilaporkan telah menjana pendapatan RM8.71 bilion, iaitu 59 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar.

Pada masa yang sama, Datuk Seri Amir Hamzah turut berkata, KWSP amat bimbang terhadap keselamatan persaraan rakyat, terutamanya apabila 46 peratus ahli KWSP yang berumur di bawah 55 tahun mempunyai kurang daripada RM10 000 dalam simpanan mereka.

Jelas pandemik memberikan kesan kejatuhan yang ketara dalam peratusan ahli yang mencapai Simpanan Asas (RM240 000 pada 55 tahun) daripada 36 peratus kepada 27 peratus, susulan daripada pengeluaran yang dibuat untuk menampung pendapatan mereka semasa krisis ini.

“Pandemik ini juga telah mencetuskan peningkatan kepada jumlah pekerja gig dan masalah ketidakcukupan simpanan persaraan akibat pendapatan yang tidak tetap atau stabil. Dalam hal ini, manfaat pekerja dan liputan perlindungan sosial mereka juga bakal terjejas.

Dalam memastikan perlindungan sosial terpelihara, beliau menegaskan bahawa skim KWSP perlu dilakukan bagi mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal, terutamanya pekerja gig. Hal ini demikian kerana kesan pandemik bukan sahaja melibatkan kesejahteraan masa depan pekerja, malahan akan membebankan pihak kerajaan. Dengan adanya skim ini, mereka berpeluang untuk menabung seawal mungkin dan merancang persaraan yang lebih signifikan.

Selain itu, KWSP turut melancarkan kemudahan i-Sinar dan i-Citra untuk meringankan beban kewangan ahli. Berdasarkan kajian, hampir 89 peratus pemohon i-Sinar dan 86 peratus pemohon i-Citra menyatakan bahawa pengeluaran yang dibuat digunakan untuk menampung perbelanjaan harian dan keperluan kewangan yang mendesak.

Berpegang pada objektif, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP berkata, “KWSP akan tetap komited dalam pelaksanaan Alokasi Aset Strategik dan sentiasa peka terhadap perkembangan profil risiko pasaran agar penambahbaikan dapat dilakukan.”

Walau bagaimanapun, KWSP akan memastikan ahlinya mampu menjana pulangan semula daripada simpanan persaraan mereka, di samping melindungi kesejahteraan pada masa akan datang.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi