23 September 2021, 17:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur  Sistem perlindungan sosial negara perlu beralih daripada model berkebajikan (charity model) yang hanya mensasarkan golongan miskin kepada pendekatan kitaran hidup yang lebih bersifat mencegah kemiskinan dan meningkatkan daya tahan dalam menangani isu kerentanan.

Model perlindungan tertumpu pada tiga peringkat kehidupan seseorang individu, iaitu semasa kecil, bekerja dan pada usia tua. (Sumber foto: KRI)

Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) menerusi laporan yang dilancarkan pada hari ini menjelaskan, perlindungan sosial yang berpandukan kitaran hidup ini berupaya untuk menyediakan asas perlindungan pada sepanjang jangka hayat seseorang.

Sistem perlindungan ini berbeza berbanding dengan model sedia ada. Model tersebut mengambil kira risiko terhadap tiga peringkat utama kehidupan seseorang individu, iaitu semasa kecil, bekerja dan pada usia tua.

Semasa kecil, seorang kanak-kanak berdepan dengan risiko kemiskinan dan kekurangan zat makanan yang boleh memberikan kesan jangka panjang terhadap perkembangannya.

“Pada usia bekerja, seorang dewasa mungkin tidak dapat bekerja kerana kehilangan upaya atau perlu memenuhi tanggungjawab penjagaan keluarga, serta menghadapi rintangan semasa peralihan daripada alam persekolahan kepada alam pekerjaan.

“Mereka juga mungkin dibuang kerja, menganggur atau bekerja dalam pekerjaan bukan standard atau tidak formal yang tidak mempunyai akses kepada skim insurans sosial.

Pada usia tua pula, seorang warga emas mungkin mempunyai simpanan usia tua yang terhad dan sebilangan besarnya tidak mempunyai jaminan pendapatan asas untuk keselesaan hidup setelah bersara

Berdasarkan kepada panduan tersebut, KRI dalam laporannya bertajuk Menongkah Badai: Ke Arah Keterangkuman Perlindungan Sosial di Malaysia itu menggariskan beberapa pertimbangan dasar pelaburan perlu diambil kira oleh kerajaan.

Antaranya termasuklah pelaburan dalam manfaat kanak-kanak sejagat bagi memastikan tiada kanak-kanak yang tercicir ketika dalam tempoh penting perkembangan kognitif, fizikal dan sosial.

Kedua, memperluas liputan mandatori skim insurans sosial untuk penduduk dalam usia bekerja, termasuklah kumpulan yang bekerja sendiri, pekerja bukan standard atau/dan pekerja informal, serta golongan di luar tenaga buruh rasmi seperti suri rumah.

Ketiga, dasar itu turut perlu membangunkan pencen insurans sosial untuk usia tua bagi menyediakan jaminan pendapatan asas untuk warga emas bagi menangani cabaran akibat kekangan perlindungan dan ketidakcukupan simpanan pada usia tua.

Keempat, merealisasikan dasar yang dicadangkan secara berperingkat melalui pemantapan institusi perlindungan sosial, pengenalan atau pindaan undang-undang yang berkaitan, dan peningkatan pendapatan kerajaan melalui reformasi cukai.

Turut perlu dipertimbangkan adalah mengenai keperluan untuk membangunkan sebuah institusi perlindungan sosial negara dan sistem maklumat bersepadu bagi mentadbir dan melaksanakan inisiatif perlindungan sosial yang dicadangkan.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!