22 September 2021, 18:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR- Kerajaan Persekutuan mula mengadakan sesi rundingan bersama-sama dengan pihak pembangkang sebelum Belanjawan 2022 dibentangkan di Parlimen pada Oktober kelak.

Timbalan Menteri Kewangan II, YB Yamani Hafez Tan Sri Musa berkata, kerajaan komited untuk berbincang bersama-sama dengan pihak pembangkang susulan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dengan pembangkang (Pakatan Harapan) pada 13 September lalu.

Beliau menjelaskan, rundingan tersebut antara lain adalah untuk memastikan cadangan inisiatif dan langkah-langkah Belanjawan 2022 dapat memberi keutamaan kepada kesihatan dan kebajikan rakyat serta aspek yang berkaitan dengan kelangsungan perniagaan.

“Atas semangat kesepakatan bersama-sama terutamanya dalam usaha untuk bangkit daripada kesan COVID-19 dan memulihkan semula negara, kerajaan berharap Belanjawan 2022 yang dirunding kelak akan berjalan dengan lancar dan dapat dipersetujui secara bersama-sama,”jelas beliau ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada hari ini.

Sementara itu, YB Yamani Hafez menjelaskan, Kementerian Kewangan buat pertama kalinya mengeluarkan Kenyataan Pra-Bajet (KPB) bagi Belanjawan 2022 pada 31 Ogos lalu untuk meningkatkan ketelusan proses merangka inisiatif belanjawan, selain membina keyakinan awam terhadap pengurusan fiskal negara terutamanya dalam kalangan pelabur.

Menurut beliau, KPB merupakan satu daripada transformasi yang dilaksanakan kerajaan yang bermatlamat untuk menyediakan peluang kepada semua pihak berkepentingan dengan memberi maklum balas ke arah perangkaan sebuah belanjawan yang memenuhi keperluan rakyat, selaras dengan dasar dan objektif negara.

Selain itu, Kementerian Kewangan juga sedang giat melaksanakan pelbagai sesi libat urus dengan penggiat industri dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuklah jelajah ke negeri-negeri bagi mendengar maklum balas serta cadangan.

YB Yamani Hafez menyatakan, Belanjawan 2022 akan memberi tumpuan dalam usaha melindungi, memulihkan kehidupan serta membina semula daya ketahanan negara.

Pada masa yang sama, cadangan pengecualian bayaran faedah untuk moratorium pinjaman bank, beliau berkata, kerajaan masih membincangkan perkara itu dengan institusi perbankan kerana melibatkan keputusan komersial pihak bank, lembaga pengarah dan pemegang saham masing-masing.

Berhubung cadangan menaikkan had pengeluaran i-Citra, beliau berpandangan, hal tersebut perlu diperhalusi dan dikaji secara menyeluruh, selain mengambil kira soal mengimbangkan antara keperluan semasa dan kepentingan simpanan persaraan dengan negara yang dijangka mengalami penuaan penduduk pada 10 atau 15 tahun akan datang.

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.